Felda United umum tarik diri

Barisan pemain yang memperkuat skuad The Fighters pada saingan Liga-M musim ini. - Foto FB Felda United FC
Barisan pemain yang memperkuat skuad The Fighters pada saingan Liga-M musim ini. - Foto FB Felda United FC
A
A
A

BEKAS juara Liga Premier, Felda United FC (FUFC) atau lebih terkenal dengan gelaran The Fighters sah tidak akan menyertai saingan Liga Malaysia (Liga-M) mulai musim depan.

Menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Felda sebentar tadi, penyertaan FUFC dalam Liga-M hanya sehingga musim ini.

"Felda ingin memaklumkan pembabitan FUFC dalam perlawanan bola sepak adalah sehingga musim 2020 sahaja. Mulai tahun 2021, FUFC tidak akan lagi menyertai Liga Super Malaysia dan Liga Perdana Malaysia.

"16 orang kakitangan FUFC akan dibayar pampasan penamatan perkhidmatan mengikut syarat pelantikan yang dipersetujui oleh pengurusan FUFC. Notis makluman serahan tugas sudah diberikan pada 17 September 2020 kepada kakitangan yang terlibat," kata kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Felda turut mengumumkan pengambilalihan penuh pentadbiran dan pengurusan FUFC dan anak syarikatnya, The Fighters Sdn Bhd mulai 1 September 2020 sepertimana yang dipersetujui pada Mesyuarat Lembaga Felda.

"Tujuan utama pengambilalihan oleh Felda adalah bagi mengawal perbelanjaan serta memastikan penyelarasan program sukan yang dirancang serta dilaksanakan lebih patuh kepada garis panduan pengurusan pentadbiran, prosedur perolehan, pengurusan kewangan serta penilaian risiko.

"Susulan pengambilalihan ini, Akademi Bola Sepak Felda yang dikendalikan FUFC sebelum ini tetap akan diteruskan memandangkan akademi berkenaan adalah platform pembentukan bakat dan modal insan dalam kalangan generasi baharu Felda," katanya.

Dalam pada itu, Felda menafikan laporan mengatakan pejabat FUFC dipecah masuk oleh ‘orang dalam’ sendiri. Difahamkan, terdapat beberapa fail atau dokumen yang diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes yang berlaku pada 2014 hingga 2018 telah ‘dibawa lari’.

Artikel Berkaitan:

"Selepas pengambilalihan pada 1 September 2020, Felda mempunyai hak dan akses penuh kepada pejabat itu, lantas menafikan sebarang tuduhan pecah masuk. Pegawai yang hadir juga diiringi oleh Polis Bantuan FGV Security Sdn Bhd.

"Berikutan itu, Felda sudah membuat satu laporan polis bagi melindungi kepentingannya dan Felda tidak akan memberikan respons awam berkenaan isu ini bagi tidak mengganggu siasatan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap FUFC," jelas kenyataan itu lagi.