Ebit Lew mohon maaf kepada UPSI

Ebit Lew dalam hantaran Facebooknya semalam mengemukakan permohonan maaf setelah kenyataan rasmi MPP UPSI dikeluarkan berkaitan isu bantuan yang diberikan kepada pelajar UPSI semalam.
Ebit Lew dalam hantaran Facebooknya semalam mengemukakan permohonan maaf setelah kenyataan rasmi MPP UPSI dikeluarkan berkaitan isu bantuan yang diberikan kepada pelajar UPSI semalam.
A
A
A

IPOH - Penceramah terkenal, Ebit Lew memohon maaf kepada pentadbiran Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) berkaitan isu bantuan yang diberikan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Permohonan maaf tersebut menerusi hantaran di Facebooknya semalam selepas dihubungi oleh Naib Canselor UPSI supaya beliau membuat permohonan maaf secara terbuka.

Beliau berkata, bas awam percuma tersebut disediakan untuk membantu membawa pelajar-pelajar pulang ke kampung masing-masing sambil memberitahu beliau kini terpaksa menangguhkan perjalanan 20 bas yang disewa untuk pelajar dari universiti lain untuk pulang ke destinasi.

"Saya minta maaf saya salah. Saya cuma membantu. Ramai pelajar dah balik dan ada yang keluarga ambil. Saya cuma siapkan macam bas awam. Syukur bas yang bergerak pun dah sampai selamat.

"Biasa naik bas bayar tapi kali ini percuma dan lebih tersusun dan tak perlu nak ke hentian bas dan naik kereta api. Saya tangguhkan 20 bas sehingga diberi kelulusan," katanya.

Menurutnya, inisiatif tersebut dilakukan setelah mendengar keluhan daripada pelajar yang tidak mampu pulang ke kampung halaman masing-masing.

Kelmarin, Ebit Lew menerusi hantaran di Facebook memaklumkan pihaknya mengambil inisiatif menyewakan bas ke pantai timur untuk pelajar UPSI yang mahu pulang ke destinasi masing-masing.

Menurutnya, selain UPSI beberapa lagi bas akan disewa untuk penuntut dari beberapa universiti lain yang memerlukan bantuan bagi membawa mereka pulang semula ke kampung selepas kerajaan memutuskan pembelajaran di institut pengajian tinggi dibuat secara dalam talian.

Artikel Berkaitan:

Kenyataan rasmi MPP UPSI yang dikeluarkan hari ini meminta semua pihak yang ingin membantu mematuhi SOP yang ditetapkan berikutan penularan pandemik Koronavirus (Covid-19).
Kenyataan rasmi MPP UPSI yang dikeluarkan hari ini meminta semua pihak yang ingin membantu mematuhi SOP yang ditetapkan berikutan penularan pandemik Koronavirus (Covid-19).

Sementara itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sultan Idris Shah (UPSI) mengalu-alukan sebarang bentuk bantuan kepada pelajar-pelajar di kampus berkenaan namun meminta semua pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan berikutan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

MPP dalam satu kenyataan memaklumkan, pihak universiti, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan negara akan dipertanggungjawabkan jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

"Kami amat terbuka dan mengalu-alukan bantuan yang dihulurkan oleh mana-mana pihak luar sana yang ingin menghulurkan bantuan kepada pelajar UPSI namun sebarang bantuan yang ingin dilaksanakan perlu mendapat kebenaran daripada pihak pengurusan universiti yang secara langsung mendapat kebenaran daripada KPT dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya menerusi satu kenyataan rasmi semalam.

Bagaimanapun, MPP UPSI turut merakam penghargaan kepada pendakwah terkenal, Ebit Lew yang menggerakkan usaha menghantar pelajar pulang ke kampung tetapi menyifatkan usaha murni tersebut perlu disusuli dengan pematuhan SOP serta garis panduan ditetapkan agar tidak menimbulkan sebarang masalah kepada pelajar.

"Perkara ini perlu dilakukan kerana dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, kita tidak mahu sebarang perkara-perkara negatif berlaku terutamanya hal-hal yang berkenaan dengan wabak itu.

"Selain itu, ia juga melibatkan keselamatan pelajar sepanjang perjalanan mereka pulang ke kampung atau ke destinasi masing-masing," katanya.