Pengunduran AS di Afghanistan

A
A
A

CHINA mempunyai kepentingan di Afghanistan dan kehadi-ran pengaruh China dijangka meningkat apabila tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari Afghanistan menjelang pertengahan 2021.

Tidak kira sama ada Donald Trump atau pencabarnya bekas Timbalan Presiden, Joe Biden daripada Parti Demokrat akan memenangi Pilihan Raya Presiden pada November 2020 nanti, yang pasti tentera AS akan berundur dan angka dikurangkan di bawah 2,000 anggota.

Sejak September, rundingan damai intra-Afghanistan antara pihak kerajaan dan Taliban diadakan di Doha, Qatar. Rundingan damai intra Afghanistan merupakan hasil daripada penandatanga-nan Perjanjian AS-Taliban pada Februari 2020.

Selain itu, ia juga telah memberi peluang kepada negara-negara jiran seperti China, Pakistan, Iran dan India untuk cuba memperluaskan pengaruh di Afghanistan.

China mempunyai pandangan berbeza kerana melihat Afghanistan sebagai sebuah negara yang amat berpotensi. Kedudukan geografi Afghanistan mampu berfungsi sebagai koridor ‘ke arah Barat’ atau March West menyambungkan China dengan negara-negara Asia Tengah yang lain seperti Uzbekistan dan Turkmenistan serta Iran, seterusnya ke Teluk Parsi.

Koridor March West amat penting bagi China kerana ia sebahagian daripada Belt and Road Initiative (BRI). Presiden China, Xi Jinping telah melancarkan BRI pada tahun 2013 yang bermatlamat mewujudkan jalinan kerjasama ekonomi antara China dengan negara-negara di Asia Tengah, Asia Selatan, Asia Tenggara, Asia Barat sehingga Eropah.

Pada masa kini, antara projek utama BRI di rantau Asia Tengah ialah Koridor Ekonomi China-Pakistan (CPEC) dan China merancang untuk memperluaskan jalinan ke Afghanistan supaya mampu menghubungkan republik-republik Asia Tengah dan Iran dengan pengaruh ekonomi China.

Sebenarnya sebelum pelancaran BRI, China telah menunjukkan minatnya terhadap Afghasnistan. China menganggarkan jumlah kekayaan semula jadi Afghanistan sebanyak satu trilion Dollar AS. Pada tahun 2008, beberapa syarikat multinasional China telah melabur di Afghanistan, namun pelaburan itu masih kurang berjaya disebabkan tiada kestabilan dan keselamatan di Afghanistan.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, China sedang berusaha memastikan agar politik dan keselamatan Afghanistan stabil supaya kepentingan ekonomi, khasnya rancangan BRI dan Jalan Sutera Baru atau New Silk Road terjamin. China sedar keselama-tan dan kestabilan rantau Asia Tengah khasnya wilayah Xinjiang Uyghur Automous Region (XUAR) banyak dipengaruhi oleh faktor keselamatan di Afghanistan.

Strategi cheque book diplomacy telah digunakan oleh China dengan menawarkan bantuan pembangunan, misalnya pembinaan jalan raya, jambatan, menyediakan bekalan air di kawasan luar bandar, pinjaman kepada kerajaan Afghanistan dan Taliban.

Maklamat bantuan pembangunan adalah supaya ia mampu meningkatkan taraf kehidupan penduduk Afghanistan serta memperolehi pekerjaan stabil agar mereka tidak terlibat dalam aktiviti keganasan dan keamanan dapat dipulihkan.

Selain itu, China tidak mahu pihak Taliban memberi sokongan kepada gerakan pemisah Uyghur di Xinjiang dan menyertai masyarakat antarabangsa mengkritik China atas layanan terhadap penduduk minoriti Uyghur.

Terdapat berita yang mendakwa bahawa selepas pengunduran tentera AS dari Afghanistan, China juga berhasrat mendirikan pengkalan tentera khasnya di Korridor Wakhan yang menghubungkan China dan Afghanistan. Tujuan pengkalan itu adalah untuk membanteras aktiviti pengganas daripada merebak ke wilayah Xinjiang. Namun, China telah menafikan berita sebagai palsu.

Yang pasti, selepas pengunduran tentera AS, kerajaan Afghanistan perlu memperoleh bantuan dan kerjasama dari negara-negara jiran seperti China, Pakistan dan Iran dalam bidang keselama-tan, perdagangan serta pembangunan. China merupakan sebuah kuasa besar yang mana Afghanistan boleh peroleh bantuan dalam era pasca-tentera AS.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya