Batal ECRL masih belum muktamad: PM

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Keputusan Kerajaan berhubung penamatan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) diterajui China Communications Construction Group Ltd (CCCC) belum dimuktamadkan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, langkah itu diambil susulan wujudnya beberapa perubahan, sekaligus ia memerlukan rundingan lanjut membabitkan pihak-pihak berkaitan.

Katanya, keputusan akhir akan diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng selepas ketetapan dibuat.

“Tiada keputusan dibuat mengenai ECRL. Sebelum ini sudah ada ketetapan, tapi sekarang ada perubahan.

“Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan umum bila rundingan yang dikendalikannya selesai,” katanya kepada pemberita pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Bersatu, di sini hari ini.

Pada 26 Januari lalu, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberitahu, kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan CCCC bagi projek ECRL yang digantung pada Julai 2018 pada mesyuarat Kabinet dua hari sebelum itu.

Mohamed Azmin berkata, keputusan itu diambil setelah meneliti semula kos dan mendapati ia terlalu besar serta di luar kemampuan kewangan kerajaan buat masa ini.

Bagaimanapun, kenyataan Mohamed Azmin itu mengejutkan Guan Eng yang berpendapat beliau mungkin tidak dimaklumkan mengenai keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu mesyuarat itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Guan Eng, status kontrak antara kerajaan dengan CCCC bagi projek ECRL sama ada dibatalkan atau sebaliknya hanya akan diketahui minggu depan.

“Pengumuman akan dibuat secara bertulis seperti mana diputuskan Kabinet sebelum ini,” katanya.

ECRL, projek bernilai RM81 bilion sejauh 688 kilometer (km) yang menghubungkan Pelabuhan Klang dan Kota Bharu, Kelantan, dilancarkan tahun lepas, dijadual siap pada 2024.