Penularan Covid-19 dalam negara terkawal: PM

Muhyiddin ketika mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
Muhyiddin ketika mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara berkenaan Covid-19 di bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Situasi kes penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dalam negara ketika ini terkawal dan masih dapat dibendung hasil kerjasama pelbagai agensi sertai aktiviti pemantauan kesihatan awam yang berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kebanyakan kes yang berlaku adalah dalam kalangan tahanan dalam penjara, kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar dan kluster yang telah pun dikenal pasti.

Menurutnya, kesemua kawasan tersebut dipantau pada setiap masa dan aktiviti pengesanan kes serta kontak rapat dijalankan secara aktif.

"Hal itu menyebabkan lebih banyak kes positif Covid-19 dikesan dan menyumbang kepada statistik harian di dalam negara.

"Saya amat berharap perkara itu dapat difahami dan saya ingin tekankan di sini bahawa keadaan terkawal dan sedang diuruskan dengan baik oleh agensi kerajaan yang terlibat," katanya di laman Facebook hari ini.

Pagi tadi, beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung pengurusan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, dalam mesyuarat tersebut dimaklumkan kes penularan Covid-19 di Sabah didapati berpunca daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) dari negara jiran.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan telah membuat keputusan kesemua PATI yang ditahan disaring dan ditempatkan di Pusat-pusat Tahanan dan Kuarantin Sementara (PTS) yang disediakan.

Artikel Berkaitan:

"Pada masa ini, PTS di Sabah telah melebihi kapasiti.

"Maka kerajaan akan membuka lebih banyak PTS baharu bagi menempatkan PATI yang ditahan sebelum proses pengusiran dilaksanakan.

"Dalam pada itu, petugas KKM juga telah ditambah untuk menjalankan proses saringan ke atas Pati yang ditahan," ujarnya.

Berhubung kawalan sempadan negara, beliau berkata, anggota keselamatan negara juga akan ditambah bagi mengekang kemasukan PATI khususnya di Sabah.

Beliau berkata lagi, aset keselamatan akan diatur gerak untuk menghalang cubaan membolosi sempadan negara.

"Saya juga ingin memberi jaminan bahawa tahap kesiapsiagaan negara adalah pada tahap yang tertinggi dan mampu menghadapi penularan jangkitan Covid-19 seperti yang kita telah lalui sebelum ini.

"Kita mempunyai sebanyak 40 buah hospital dan 34 Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah untuk merawat kes positif Covid-19 dengan kapasiti 5,674 buah katil.

"Kadar penggunaan katil di hospital Covid-19 pada masa ini ialah 24 peratus sahaja," katanya.

Selain itu, beliau berkata, fasiliti kesihatan juga kini mempunyai 437 buah katil ICU dan 1,505 alat bantu pernafasan (ventilator).

Justeru, Muhyiddin menyeru rakyat supaya bertenang dalam menghadapi situasi penularan Covid-19 pada masa ini.

"Saya percaya pasukan barisan hadapan negara kita khususnya KKM dan pasukan keselamatan mempunyai kapasiti dan kepakaran untuk menangani situasi ini dengan baik.

"Marilah kita bersama-sama membudayakan normal baharu dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa," jelas beliau.