Mahasiswa minta KPT pertimbang pampasan

Kesatuan Mahasiswa Se-Malaysia mahu KPT tangani isu kos tambang pengangkutan mahasiswa yang sudah tiba di kampus masing-masing, namun diarahkan pulang susulan pengumuman saat akhir penangguhan pendaftaran secara fizikal.
Kesatuan Mahasiswa Se-Malaysia mahu KPT tangani isu kos tambang pengangkutan mahasiswa yang sudah tiba di kampus masing-masing, namun diarahkan pulang susulan pengumuman saat akhir penangguhan pendaftaran secara fizikal.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Mahasiswa Se-Malaysia menuntut Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangani isu kos tambang pengangkutan bagi mahasiswa yang sudah tiba di institut pengajian tinggi (IPT) masing-masing namun diarahkan pulang susulan pengumuman saat akhir penangguhan pendaftaran secara fizikal di seluruh negara.

Kesatuan itu dalam satu kenyataan malam tadi berkata, KPT perlu bersikap lebih proaktif dalam memberi respon dan tindakan dengan mengambil kira kesan jangka masa panjang.

"Ada sesetengah kampus yang akan menjalankan pembelajaran secara mod campuran (hybrid) semester ini dan mahasiswa menyelesaikan pembayaran rumah sewa.

"Kami menuntut pampasan kepada semua mahasiswa yang terkesan dan menggesa pihak KPT merasai denyut nadi dan suara hati nurani mahasiswa yang rata-rata bukan datang daripada golongan berpendapatan tinggi," kata kesatuan tersebut.

Dalam kenyataan sama, kesatuan itu meminta setiap proses membuat keputusan berkaitan hal ehwal mahasiswa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) perlu melibatkan suara akar umbi mahasiswa, sekurang-kurangnya wakil Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK).

Mereka turut mencadangkan KPT dengan kerjasama badan-badan kerajaan yang relevan memperkasakan inisiatif untuk mengatasi jurang digital dalam kalangan mahasiswa yang meluas sejak Mac lalu.

Kenyataan tersebut dibuat secara bersama Kesatuan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (KPUIAM), Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dan Kesatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (KMUKM).

Artikel Berkaitan: