Polis kesan dua beradik hilang

Maklumat dua beradik yang disyaki melarikan diri dari rumah kebajikan di Taman Gombak pada Selasa lalu.
Maklumat dua beradik yang disyaki melarikan diri dari rumah kebajikan di Taman Gombak pada Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis sedang mengesan dua adik-beradik dipercayai hilang dari Rumah Bakti Darussalam, Gombak di sini pada 29 September lepas.

Kanak-kanak yang dilapor hilang itu dikenali sebagai Fatimah Azzahrah Abdullah, 11, dan adiknya Daniel Abdullah berusia sembilan tahun.

Menurut sumber polis, kedua-dua mereka didapati hilang pada waktu Subuh hari kejadian.

"Kehilangan mereka disedari penjaga rumah itu yang kemudiannya bertindak membuat laporan polis,” katanya di sini semalam.

Sementara itu, menerusi hebahan Nur Alert yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia semalam, Fatimah Azzahrah mempunyai ciri-ciri bertubuh kurus, berketinggian 150 sentimeter, berkulit putih, bermata sepet dan berambut perang sehingga paras bahu.

Adiknya pula berketinggian 120 sentimeter, berkulit gelap, tidak berambut dengan bentuk badan yang sederhana.

Orang ramai yang menjumpai atau mempunyai maklumat mengenai kanak-kanak itu diminta berhubung dengan pegawai Sarjan Hasrol Ismail di talian 017-5262726 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kehilangan kanak-kanak berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: