Pesawah kecewa bekalan benih padi lewat

Abdul Rashid (tengah) bercakap kepada pemberita di pekarangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya hari ini.
Abdul Rashid (tengah) bercakap kepada pemberita di pekarangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Putrajaya hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Lebih 100,000 pesawah melahirkan rasa kecewa apabila terpaksa berhadapan dengan kelewatan dan eksploitasi harga benih padi yang tidak berkesudahan.

Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, perkara itu berlaku pada setiap musim penanaman padi.

"Ia seolah-olah tiada perubahan yang berkesan dilakukan oleh kerajaan terdahulu mahupun sekarang," katanya kepada pemberita.

Abdul Rashid berkata demikian selepas sidang akhbar PeSAWAH mengenai kekurangan bekalan benih padi dan eksploitasi harga yang melampau di pekarangan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan di sini hari ini.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, punca masalah yang timbul adalah jadual pengairan yang dikeluarkan tanpa mengambil kira kapasiti pengeluaran benih oleh syarikat dilantik.

"Andaian kami (kumpulan) bawahan, berlaku salah guna kuasa oleh pihak berwajib dengan mengambil komisen terhadap benih yang diluluskan," katanya.

Azhar menunjukkan benih padi yang dihasilkan olehnya sendiri.
Azhar menunjukkan benih padi yang dihasilkan olehnya sendiri.

Beliau berkata, saban tahun pengeluar padi menuntut subsidi RM20 bagi setiap 20 kilogram (kg) benih.

Artikel Berkaitan:

"Kuota benih subsidi ditanggung kerajaan adalah sebanyak 75,000 metrik tan setahun.

"Subsidi yang bernilai jutaan ringgit itu diterima terus oleh syarikat pengeluar dengan tanggungjawab untuk menjamin bekalan mencukupi dan berkualiti," katanya.

Jelasnya, sistem pengeluaran benih terbukti tidak efektif untuk menjamin bekalan dan kualiti benih padi kepada petani.

"Ini kerana saban musim masalah kualiti yang teruk dan harga jualan tinggi dan bekalan tidak mencukupi seringkali berlaku," katanya.

Mengulas mengenai harga jualan benih padi, Abdul Rashid berkata, bekalan benih yang terhad dijual dengan kenaikan melampau sehingga RM60 bagi 20kg.

"Sedangkan harga subsidi di pintu kilang adalah hanya RM28," katanya.

Justeru, beliau mendesak pihak kementerian untuk menyelesaikan segera isu berkenaan.

"Ini kali kedua PeSAWAH menghantar memorandum kepada kementerian. Siasatlah segera supaya dapat kami menanam makanan ruji rakyat," katanya.

Sementara itu, wakil PeSAWAH Bagan Serai, Azhar Hashim berkata, dia terpaksa menghasilkan benih sendiri sebagai penyelesaian.

"Ia masih tidak mencukupi kerana saya hanya mampu menghasilkan 20 hingga 30 kampit sahaja bagi setiap musim sedangkan keluasan bendang sawah 16 ekar (6.46 hektar)," katanya.

Katanya lagi, apabila isu tersebut sampai ke pengetahuan kementerian, ia diklasifikasikan sebagai benih tidak sah.

"Itu saya buat sendiri untuk kegunaan sendiri. Bukan untuk dijual. Tiada langsung hampa padi," katanya.