X

Kindly register in order to view this article
!

Guru bukan pembantu peribadi, bukan juga malaikat pelindung

Guru adalah satu profesion yang mempunyai waktu kerjanya sendiri. - Foto 123RF
A
A

TULAR keratan akhbar berkaitan kenyataan seorang wanita yang mempertikaikan guru tidak mengawal dan memantau pelajar selepas waktu sekolah membuatkan Merak Jalanan ternganga seketika.

Terperanjat Merak Jalanan membaca kenyataan wanita itu. Entah apa agaknya yang merasuk pemikirannya sehingga dia berkata sedemikian rupa. Apa agaknya yang dimahukan oleh wanita tersebut?

Adakah dia tahu bahawa guru itu adalah satu profesion yang mempunyai waktu kerjanya sendiri. Mereka bukannya pembantu peribadi yang dibayar khas untuk memantau anak-anak orang lain.

Dalam keadaan separa marah membaca kenyataan wanita berkenaan, tiba-tiba Merak Jalanan membayangkan bagaimana sekiranya guru menjaga anak murid mereka sehingga tamat waktu bekerja ibu bapa masing-masing.

Bayangkan, tamat sahaja waktu sekolah, guru akan menemani murid-murid mereka ke hentian bas dan duduk bersama sehingga ibu bapa masing-masing datang mengambil mereka.

Sekiranya ibu bapa lewat, guru perlu menghilangkan keresahan dan kebosanan murid mereka dengan menyanyi, berlakon berpantun atau bersyair sambil bergurau senda.

Jika ibu bapa sibuk mengejar duniawi sehingga lupa semua perkara, hendaklah guru itu menemani anak-anak di rumah sama ada membantu murid berkenaan menyiapkan kerja rumah atau bermain PUBG, playstation dan sebagainya. Selepas ibu bapa sampai di rumah, barulah guru pulang ke rumah masing-masing...

Kalau macam itulah gayanya, Merak Jalanan rasa tiada lagi anak bangsa yang sudi menjawat profesion guru selepas ini.

Sudah pasti tugas berkenaan terpaksa diserahkan pula kepada pendatang asing yang mempunyai kelayakan.

Jadi, usahlah pertikaikan kerja dan tanggungjawab guru. Merak Jalanan rasa golongan berkenaan sudah cukup terbeban dengan pelbagai tugas.

Hormatilah mereka sebagaimana kita menghormati ibu sendiri. Lagipun, guru bukan malaikat pelindung. Tugas mereka hanya mendidik anak bangsa.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!