Sila log masuk terlebih dahulu.

Mahfuz disahkan negatif Covid-19

Mahfuz (kanan) ketika hadir di PKD Kota Setar untuk memotong gelang merah jambu KKM setelah ujian swab disahkan negatif.
Mahfuz (kanan) ketika hadir di PKD Kota Setar untuk memotong gelang merah jambu KKM setelah ujian swab disahkan negatif.
A
A
A

ALOR SETAR - Keputusan ujian saringan Covid-19 ke atas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar disahkan negatif.

Mahfuz yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 sebaik tiba di Semenanjung dari berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 28 September lalu dan menjalani kuarantin di rumah sehingga keputusan ujian diperoleh.

Menurutnya, seperti mana diputuskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), individu dari Sabah ke Semenanjung wajib melalui proses saringan (swab) di pintu masuk bermula 27 September.

"Saya balik melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dan disaring serta dipakaikan gelang merah jambu sehingga keputusan swab diperoleh semalam.

"Saya telah dihubungi Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar dan keputusannya negatif, " katanya kepada Sinar Harian selepas hadir ke PKD Kota Setar untuk memotong gelang terbabit.

Mahfuz berkata, beliau kini tidak perlu lagi menjalani kuarantin Covid-19 selepas disahkan negatif.

Prosedur operasi standard (SOP) KKM menetapkan individu yang pulang dari Sabah dan diuji negatif, tidak bergejala serta bukan kontak rapat pesakit Covid-19 tidak diwajibkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Selepas menjalani ujian saringan, mereka diberi tempoh kuarantin dan surat kuarantin di rumah (HSO) atau perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah.

Artikel Berkaitan:

Mereka dipakaikan gelang sehingga mendapat keputusan ujian dan jika keputusannya negatif dan bukan Pesakit Dalam Siasatan (PUI) atau Individu Dalam Pemerhatian (PUS), dibebaskan tanpa perlu menjalani kuarantin 14 hari.

Dalam pada itu, Mahfuz menasihatkan semua ahli politik mahupun individu yang pulang dari PRN Sabah agar mengikuti SOP KKM bagi memutuskan rantaian Covid-19 yang kini kesnya kembali meningkat.

"Kita semua perlu jalani kehidupan normal baharu. Covid-19 mengajar kita supaya lebih berdisiplin," katanya.