Waris mendiang Thiyahu terima faedah Pencen Penakat

Ramli (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan dan faedah caruman kepada Thaliswari disaksikan Najwan (lima,kanan)
Ramli (tiga, kanan) menyerahkan sumbangan dan faedah caruman kepada Thaliswari disaksikan Najwan (lima,kanan)
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor hari ini menyerahkan sumbangan serta faedah caruman kepada keluarga dan waris calon Angkatan Muda Keadilan (AMK), M Thiyahu yang meninggal dunia, awal bulan lalu.

Timbalan Pengarah Perkeso Selangor, Mohammad Ramli Ahmad Dahalan berkata, penyerahan faedah caruman itu melibatkan faedah pengurusan mayat (sekali) serta faedah Pencen Penakat yang bakal diterima setiap bulan sehingga anak mendiang berumur 21 tahun.

"Kita telah mengambil tindakan proaktif berhubung kes mendiang Thiyahu selepas laporan media tempoh hari, dan berdasarkan rekod-rekod dalam sistem, mendiang memang layak untuk menerima faedah Pencen Penakat.

"Selain itu, mendiang juga layak untuk mendapat faedah pengurusan mayat yang mana kita serahkan juga pada hari ini iaitu sumbangan berjumlah RM2,000 bagi faedah tersebut," katanya kepada Sinar Harian di Pejabat Adun Kota Anggerik.

Katanya, faedah Pencen Penakat bersifat pencen bulanan di mana Perkeso akan salurkan bayaran secara bulanan kepada waris mendiang.

"Dalam kes ini mendiang meninggalkan seorang balu namun tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara.

"Namun begitu, rekod anak mendiang menyebabkan layak untuk menerima faedah ini," katanya.

Sementara itu, balu kepada Thiyahu, Thaliswari, 30, menzahirkan penghargaan kepada Perkeso serta Pejabat Adun Kota Anggerik yang telah membantu mempercepatkan proses berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu dalam perkara ini terutama kepada pihak Perkeso serta Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi.

"Memang boleh katakan prosesnya lancar dan cepat, malah kami tidak tahu dia layak untuk terima faedah ini," katanya.

Dalam perkembangan sama, Adun Kota Anggerik, Najwan Halimi menyifatkan komitmen dan juga kepantasan pihak Perkeso wajar diberikan pujian.

"Selepas selesai proses pengebumian mendiang, kita telah memanggil waris mendiang dan aturkan sesi penyerahan dengan sumbangan berserta faedah-faedah yang dapat diterima keluarga mendiang.

"Saya cukup berbangga dengan cara kerja pihak Perkeso dan berharap dapat terus bekerjasama ini kerana ia bukan soal saya atau Perkeso, tetapi sejauh mana kita dapat mempercepatkan proses yang memudahkan masyarakat, malah dapat menyedarkan masyarakat tentang kepentingan caruman ini," katanya.