Pengasuh warga Indonesia didakwa cuai sebabkan bayi lebam

Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai menyebabkan kecederaan lebam di dahi kanan seorang kanak-kanak lelaki pada 5 September lalu.
Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai menyebabkan kecederaan lebam di dahi kanan seorang kanak-kanak lelaki pada 5 September lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan cuai menyebabkan kecederaan lebam di dahi kanan seorang kanak-kanak lelaki pada 5 September lalu.

Nurul Fithroh Maulidiyah, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid.

Nurul Fithroh sebagai seorang pengasuh dituduh dengan cuai menyebabkan mangsa berusia setahun dua bulan lebam di dahi kanan di sebuah rumah di Desa Pandan, Wangsa Maju di sini antara jam 1 petang sehingga 5 petang.

Kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen dan akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Nurul Fithroh boleh denda tidak lebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Noor Dayana Mohamad tidak menawarkan jaminan memandangkan Nurul Fithroh merupakan warga asing.

Bagaimanapun, peguam Nur Fazrin Ahmad mewakili Nurul Fithroh, memohon jaminan susulan anak guamnya terpaksa menyara keluarga di Indonesia.

Menurut Nur Fazrin, anak guamnya itu turut menghantar wang gajinya setiap bulan ke kampung bagi menyara adik- beradiknya, selain mempunyai seorang ibu berusia 70 tahun yang mengalami penyakit darah tinggi.

Artikel Berkaitan:

"Hari ini, dua orang penjamin yang merupakan warga tempatan adalah kenalan anak guam saya dan juga pasangan suami isteri hadir untuk menjamin tertuduh.

"Jadi saya mohon jaminan minimum dibenarkan terhadap anak guam saya dan terpulang pada budi bicara mahkamah," katanya dalam prosiding pertuduhan di sini hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan Nurul Fithroh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan dua penjamin warga tempatan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada 15 hari bulan setiap bulan.

Emilia kemudian menetapkan 14 Oktober untuk sebutan semula kes.