'Tolong cari wali saya’

Siti Hafsah berharap dapat menemui bapa kandung untuk menjadi wali pernikahannya bulan depan.
Siti Hafsah berharap dapat menemui bapa kandung untuk menjadi wali pernikahannya bulan depan.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan depan berharap orang ramai dapat membantu mencari bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahannya.

Siti Hafsah Mansor, 37, dari Kampung Seberang Tayor di sini berkata, dia sekeluarga kini buntu untuk mencari Mansor Abdullah, 60, kerana tidak tahu di mana lelaki itu berada.

Menurut Siti Hafsah, dia tidak kenal bapanya kerana belum pernah berjumpa selepas ibunya, Zaimas Husin, 56, ditinggalkan sejak 37 tahun lalu.

“Mengikut cerita mak, ayah tinggalkan kami ketika mak sedang mengandungkan saya empat bulan dan sejak itu ayah tidak pernah balik dan kami benar-benar terputus hubungan dengan ayah.

“Kata mak, ayah pernah cerita pada mak dia ada saudara di sini (Kemaman) dan kami sudah pergi bertanyakan tentang ayah tapi mereka menafikan ada hubungan persaudaraan dengan ayah.

“Kini kami sudah tidak tahu di mana mahu cari ayah, maklumat yang ada mengatakan ayah berasal dari Kuala Terengganu tapi lokasi tepat saya tidak tahu,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Sehubungan itu, dia berharap orang ramai dapat membantu mencari bapanya supaya majlis perkahwinannya dengan Mohd Riduan Abd Rahman berjalan lancar.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai Mansor boleh menghubungi Siti Hafsah di talian 019-3449243.

Artikel Berkaitan: