X

Kindly register in order to view this article
!

Tak wajar bonus diberi ikut merit, sektor tertentu: Cuepacs

Adnan Mat
A
A

SHAH ALAM - Pemberian bonus kepada penjawat awam tidak wajar diberi berdasarkan merit atau sektor tertentu dalam perkhidmatan awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, pemberian bonus perlu diberikan secara sama kerana semua sektor perkhidmatan awam adalah penting dan menyumbang kepada pembangunan serta kemajuan ekonomi negara.

Menurutnya, sektor perkhidmatan awam bergerak secara berpasukan dan saling melengkapi antara satu sama lain.

"Sekiranya kriteria pemberian bonus diberikan mengikut sektor perkhidmatan, ia memberi gambaran seolah-olah sektor-sektor tertentu di dalam perkhidmatan awam tidak begitu penting berbanding sektor yang mendapat bonus yang lebih tinggi.

"Perkara ini akan menjadi perdebatan dan berkemungkinan menjadikan penjawat awam di sektor tertentu menjadi tidak bermotivasi kerana beranggapan mereka tidak penting," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) mencadangkan agar pemberian bonus kepada penjawat awam dilaksanakan mengikut merit dan sektor perkhidmatan.

Presiden MAAC, Profesor Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata, perkara itu berkemungkinan boleh dilakukan berdasarkan markah Laporan Nilai Prestasi Tahunan (LNPT) yang diperoleh petugas serta prestasi petugas dalam mencapai Penunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan jabatan dan kerajaan.

Adnan berkata, penetapan mengikut merit juga terlalu subjektif kerana kecemerlangan seseorang penjawat awam adalah disebabkan sokongan daripada rakan sekerja serta majikan.

"Begitu juga sekiranya pemberian bonus diberikan berdasarkan merit, setiap penjawat awam telah memainkan peranan masing-masing dan wajar diberikan kredit atas keterlibatan mereka sepanjang perkhidmatan.

"Jika penjawat awam itu dinilai kurang baik, ketua jabatan juga boleh dipersoalkan kerana sektor perkhidmatan awam bergerak dalam satu pasukan yang besar dan bukannya 'one man show'," katanya.

Katanya, seluruh perkhidmatan awam ketika ini dikerahkan untuk menjadi pemudah cara kepada kerajaan untuk menjayakan agenda dan program pemulihan semula ekonomi negara yang terjejas terus akibat pandemik Covid-19.

"Semua sektor seperti keselamatan, kesihatan, pendidikan dan perkhidmatan bersama-sama bekerja keras dan berganding bahu untuk memastikan negara berada di landasan yang terbaik keluar daripada kemelut ketidaktentuan ekonomi ketika ini," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!