Covid-19: Lagi empat kluster baharu dikesan

Gambar kecil: Dr Noor Hisham
Gambar kecil: Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan empat kluster baharu Covid-19 membabitkan dua di Sabah masing-masing satu di Selangor dan Johor.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dua kluster di Sabah ialah Kluster Jalan Bomba dan Jalan Utara dikesan di Sandakan.

Menurutnya, kes indeks bagi kluster Jalan Bomba ialah kes 11,110 yang mempunyai sejarah perjalanan ke Semporna pada 20 September lalu

"Lelaki berkenaan bergejala demam dan batuk disahkan positif Covid-19 lapan hari kemudian.

"Hasil saringan mendapati, dua lagi kes positif dikesan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 101 kes positif Covid-19 hari ini

Beliau berkata, Kluster Jalan Utara melibatkan dua petugas kesihatan yang dikenal pasti tidak bergejala," katanya.

Menurutnya, kluster baharu dikenal pasti Kluster Benteng PK yang melibatkan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan saringan kontak rapat mendapati seorang anggota polis positif Covid-19.

"Kesemua individu daripada kluster berkenaan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Seramai 148 individu telah disaring dan lapan positif manakala 139 didapati negatif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Bakawali di Johor melibatkan pasangan suami isteri yang mempunyai sejarah perjalanan dari Semporna, Sabah.

"Pada 24 September, kedua-dua kes bergejala selesema, demam dan batuk sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail," katanya.

Selepas didapati positif Covid-19 pada 26 September, pesakit dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom untuk dirawat.

"Hasil saringan terhadap 25 kontak rapat mendapati dua lagi kes turut positif dan 13 individu lain didapati negatif manakala lapan masih menunggu keputusan," katanya.

Menurutnya, KKM telah mengambil langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan pembersihan di lokasi terlibat.

"Punca jangkitan bagi kesemua kluster ini masih dalam siasatan," katanya.