19 peratus wanita anggotai lembaga syarikat tersenarai awam

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapannya semasa Bengkel Perdagangan Insan di Komanwel hari ini. Foto: Bernama
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyampaikan ucapannya semasa Bengkel Perdagangan Insan di Komanwel hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, setakat ini hanya 19 peratus daripada anggota lembaga dalam syarikat tersenarai awam, yang permodalan pasarannya RM2 bilion dan lebih, terdiri daripada wanita.

Melihat kepada angka ini, Timbalan Perdana Menteri menekankan bahawa lebih banyak perlu dilakukan dalam sektor swasta berhubung dengan penyertaan wanita di peringkat tertinggi.

Bagi memastikan penglibatan aktif oleh sektor swasta terhadap kumpulan tertentu ini, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti berkata, kerajaan telah menggariskan pelbagai dasar campurtangan.

“Satu daripada dasar campurtangan itu ialah Kerajaan baharu ini telah memasukkan dalam Belanjawan Negara 2019 agar sektor swasta memastikan 30 peratus sasaran bagi wanita dalam lembaga masing-masing boleh dicapai menjelang 2020,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ucapan dasarnya pada Dialog Swasta Awam mengenai Wanita dalam Ekonomi Digital dan Perdagangan Antarabangsa. Dialog itu diadakan sempena dengan Bengkel mengenai Perdagangan Inklusif di Komanwel di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ignatius Darell Leiking. - Bernama

Artikel Berkaitan: