Alat pengimbas, pengecaman wajah di 23 lapangan terbang

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd sedang memasang alat pengimbas haba dan pengecaman wajah bagi mengesan jangkitan Covid-19 di 23 lapangan terbang di Malaysia.

Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi berkata, syarikat itu memperoleh tender pemasangan daripada Malaysia Airport Holdings Bhd awal bulan ini, dan dijangka melengkapkan pemasangan untuk menyaring penumpang menjelang November.

“Ini sebagai persediaan menjelang pembukaan semula sempadan serta memberikan perjalanan rentas negeri yang lebih selamat ketika kita masih bertarung dengan pandemik ini," katanya selepas pelancaran pejabat baharu syarikat itu di The Gardens South Tower, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam ucapannya, Mustapa berharap NEC meneruskan usaha berterusan itu ketika negara sedang menghadapi ketidakpastian akibat wabak berkenaan.

"Malaysia berada di era Revolusi Industri 4.0 dan terdapat keperluan untuk memperkenalkan penyelesaian inovatif bagi memastikan keamanan rakyat Malaysia," katanya.

NEC Corporation, sebuah syarikat teknologi maklumat dan elektronik multinasional Jepun yang beribu pejabat di Minato, Tokyo, telah berada dalam landskap tempatan sejak 2003, menyediakan perkhidmatan teknologi kepada syarikat Malaysia.

Sementara itu, Duta Jepun ke Malaysia, Hiroshi Oka berkata, lebih banyak syarikat Jepun sedang mengintai untuk memasuki pasaran Malaysia.

Artikel Berkaitan:

"Dengan teknologi canggih Jepun dan landskap digital yang berkembang di Malaysia, kami boleh menawarkan lebih banyak perkhidmatan digital untuk menjadikan Malaysia sebagai hab Asia," katanya lagi. - Bernama