Malaysia muktamadkan pemilihan vaksin Covid-19 awal 2021

Khairy Jamaluddin Abu Bakar
Khairy Jamaluddin Abu Bakar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berkemungkinan memuktamadkan pemilihan vaksin koronavirus (Covid-19) menjelang awal tahun 2021 berikutan beberapa ujian klinikal vaksin Covid-19 yang berada pada fasa ketiga, dijangka dianalisa pada hujung tahun ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, MOSTI juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara berkenaan implikasi undang-undang dan model perolehan bagi vaksin Covid-19.

"Kita juga sedang berbincang terus dengan syarikat-syarikat farmaseutikal antarabangsa lain bagi pembekalan terus tanpa melalui pelan peruntukan vaksin Covid-19 Vaccine Global Access (Covax).

"Saya juga meminta supaya satu perjanjian dengan negara China dimuktamadkan secepat mungkin berikutan draf perjanjian hampir siap," katanya selepas melancarkan pengecas tanpa wayar nanotech (METT) yang pertama di Malaysia hari ini.

Menurutnya, rundingan dengan pihak (Covax) bagi penyertaan Malaysia di dalam kemudahan tersebut bagi mendapatkan vaksin Covid-19 yang diperlukan masih berlangsung.

"Ada beberapa perkara yang masih dalam perbincangan dengan Covax. Kemudahan ini adalah kemudahan pembelian awal, jadi model perolehan ini agak luar biasa. Kita bayar untuk benda yang masih belum lagi wujud," katanya.

Antara syarikat yang sudah memulakan ujian klinikal terakhir vaksin Covid-19 termasuk Moderna, Pfizer and BioNTech, AstraZeneca, University of Oxford dan Johnson & Johnson. - Bernama

Artikel Berkaitan: