X

Kindly register in order to view this article
!

Nagorno-Karabakh di ambang peperangan

A
A

KAWASAN selatan Kaukasus kembali menjadi pergolakan perang. Kaukasus ialah sebuah kawasan di antara Laut Hitam dan Laut Kaspia yang termasuk Pergunungan Kaukasus dan daerah-daerah rendah lainnya.

Kali terakhir ia menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa ialah pada April 2016 apabila pertempuran berlaku antara Armenia dengan Azerbaijan sehingga mengakibatkan seramai 110 orang mati.

Pertempuran itu adalah berkaitan dengan wilayah Nagorno-Karabakh yang menjadi rebutan antara kedua-dua buah negara dalam konflik yang telah lama berlanjutan dan masih tidak ada jalan penyelesaian.

Perbalahan antara kedua-dua buah negara bekas negara Kesatuan Soviet itu mencapai kemuncak pada tahun 1990-an apabila peperangan meletus bagi merebut wilayah Nagorno-Karabah sehingga satu juta penduduk hilang tempat tinggal dan dipercayai kira-kira 30,000 orang mati.

Puncanya ialah majoriti penduduk berketurunan Armenia beragama Kristian dan tinggal di wilayah Nagorno-Karabakh itu bangkit menentang pemerintahan Azerbaijan yang majoriti penduduknya beragama Islam.

Wilayah itu telah diiktiraf secara rasmi sebagai sebahagian daripada Azerbaijan tetapi ia kini dikawal oleh etnik Armenia yang mengendalikan hal ehwalnya sendiri dengan mendapat sokongan ketenteraan daripada Armenia.

Keadaan itu berlaku selepas tentera Azerbaijan berjaya diusir dari wilayah tersebut dalam peperangan manakala gencatan senjata dimeterai pada tahun 1994 dan 2016. Bagaimanapun pada Ahad lalu beberapa orang awam telah terbunuh sekali gus mencetuskan ketegangan terbaharu.

Wilayah Nagorno-Karabakh hampir menyamai saiz seluas negeri Delaware yang merupakan negeri kedua terkecil di Amerika Syarikat (AS).

Sejak tahun 1918, Armenia yang berjiran dengan Turki manakala Azerbaijan pula bebas daripada empayar Rusia.

Sejarah Nagrono-Karabakh

Pemerintahan Kesatuan Soviet kemudian diperluaskan ke selatan Kaukasus menyebabkan Nagrono-Karabakh yang didiami majoriti etnik Armenia menjadi sebuah wilayah autonomi di dalam Azerbaijan yang dikuasai Kesatuan Soviet dengan banyak keputusan dibuat di Moscow.

Namun, beberapa dekad kemudian, Kesatuan Soviet mula runtuh menyebabkan wilayah pergunungan itu berada di bawah pemerintahan ibu kota Azerbaijan iaitu Baku tetapi ditentang oleh etnik majoriti Armenia.

Pada tahun 1988, dewan perundangan Nagorno-Karabah mengundi untuk menyertai Armenia.

Tetapi, ia ditentang keras oleh kerajaan Azerbaijan dan Moscow. Namun, selepas runtuhnya Kesatuan Soviet pada tahun 1991, kumpulan pemisah yang disokong oleh Armenia merampas wilayah Nagorno-Karabakh yang diduduki penduduk minoriti Azerbaijan termasuk tujuh buah daerah Azerbaijan.

Nagorno-Karabakh kemudian dikatakan berpecah daripada Azerbaijan dengan Republik Artsakhdan diwujudkan oleh etnik Armenia dan dikatakan menguasai sebahagian besar wilayah tersebut. Ibu kota Republik Artsakhdan ialah Stepanakert dengan berjiran dengan Iran.

Walaupun gencatan senjata dipersetujui pada tahun 1994, kedua-dua negara itu sering tuduh menuduh antara satu sama lain melancarkan serangan di sekitar Nagrono-Karabakh dan di perbatasan Armenia dengan Azerbaijan.

Berikutan pertempuran terbaharu yang berlaku pada Ahad lalu yang mengakibatkan 16 orang terbunuh dan berterusan pada pagi Isnin lalu dengan angka kematian semakin meningkat, ia telah memberi kesan terhadap kestabilan di selatan Kaukasus yang merupakan koridor laluan paip membawa minyak dan gas ke pasaran dunia.

Memburukkan keadaan, dalam pertempuran itu juga, para aktivis Armenia menyatakan seorang wanita etnik Armenia dan anaknya terbunuh dengan mendakwa tentera Azerbaijan melancarkan serangan di Stepanakert dan berjanji akan melancarkan serangan balas yang setimpal.

Bagaimanapun, Armenia berkata, ia berjaya menembak jatuh dua buah helikopter dan tiga buah dron pada Ahad lalu tetapi Kementerian Pertahanan Azerbaijan mengesahkan hanya sebuah helikopter hilang tetapi kru-krunya selamat.

Armenia dan Nagorno-Karabakh turut mengisytiharkan undang-undang tentera dan memindahkan penduduk lelaki dan Azerbaijan turut mengumumkan pengisytiharan undang-undang sama dengan menyatakan lima orang daripada sebuah keluarga terbunuh akibat serangan negara tersebut.

Kesungguhan anggota-anggota tentera Azerbaijan itu juga menyaksikan tujuh buah kampung berjaya dirampas di wilayah pergunungan tersebut.

Kementerian itu pula menyatakan 12 sistem pertahanan udara Armenia telah dimusnahkan manakala Presiden IIham Aliyev berkata, dia juga mengarahkan satu operasi serangan balas berskala besar dilakukan sebagai tindakan balas terhadap serangan tentera Armenia.

"Saya percaya, operasi serangan balas kita yang berjaya akan menamatkan pendudukan (Armenia) selama 30 tahun," katanya baru-baru ini.

Namun, tentera Armenia membuat penafian awal apabila presiden Nagorno-Karabakh atau Republik Artsakhdan yang tidak diiktiraf, Arayik Harutyunyan mengesahkan hanya beberapa lokasi telah jatuh ke tangan tentera Azerbaijan.

Konflik ketenteraan yang masih belum berakhir itu menyebabkan seorang penganalisis daripada Kumpulan Krisis Antarabangsa, Olesya Vartanyan memberitahu AFP:

"Kita cuma berada selangkah sahaja lagi daripada peperangan berskala besar. Salah satu punca utama ketegangan terbaru itu ialah kekurangan perantara antarabangsa yang aktif," tambahnya.

Konflik itu juga menyebabkan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata menerusi Twitter: "Rakyat Turki akan menyokong saudara kami Azerbaijan dengan menggunakan apa segala cara seperti selalunya."

Tanpa berselindung, dia menuduh Armenia menjadi ancaman terbesar keamanan di wilayah tersebut dan kestabilan selain mengkritik masyarakat antarabangsa kerana gagal memberikan reaksi yang mencukupi terhadap pencerobohan Armenia.

Bagi mengelakkan konflik terbesar tercetus di selatan Kaukasus itu, Rusia pula yang dilihat sebagai sekutu rapat Armenia telah meminta supaya gencatan senjata diadakan dan perbincangan diadakan bagi menstabilkan situasi di wilayah tersebut.

Presiden Rusia, Vladmir Putin pula dilaporkan telah menghubungi Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan untuk berbincang tentang keadaan tersebut melalui satu panggilan telefon pada Ahad lalu.

Namun, ketegangan di wilayah itu tidak reda apabila Radio Awam Armenia melaporkan Harutyunyan iaitu presiden tidak rasmi Repbulik Artsakh yang menguasai Nagorno-Karabakh berkata, pihaknya tidak hanya berjuang menentang Azerbaijan tetapi juga Turki.

Armenia kelihatan dilihat tidak senang dengan campur tangan Ankara dalam isu tersebut kerana Pashinyan dikatakan telah mengutuk sokongan Turki ke atas Azerbaijan.

Ketika berucap di televisyen katanya: "Kita kini di ambang peperangan Selatan Kaukasus yang mungkin mempunyai kesan yang tidak boleh diramalkan."

Konflik di selatan Kaukasus itu juga bukan sahaja diminta supaya diselesaikan melalui rundingan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),

Antonio Guterres tetapi juga oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang akan membantu mencari jalan bagi menyeleaikan isu itu.

Perancis, Jerman, Itali, Kesatuan Eropah dan Iran juga mendesak supaya konflik peperangan di wilayah itu dihentikan termasuk juga Ketua Gereja Roman Katholik, Pope Francis.

Ini adalah kerana jika peperangan itu tidak segera dihentikan, adalah dikhuatiri terdapat penglibatan kumpulan pejuang dari Syria disokong oleh Turki dalam konflik tersebut. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!