X

Kindly register in order to view this article
!

Tugas guru mengajar, bukan kerani

A
A

SUARA Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dalam satu kenyataan baru-baru ini begitu keras terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

NUTP telah meminta Menteri Kanan Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin untuk melihat semula isu pengisian Deskripsi Tugas dalam kalangan guru agar tidak membebankan mereka yang sepatutnya bertugas mendidik anak bangsa.

Dalam kenyataan yang bertajuk ‘Kerja-Kerja Tidak Relevan Kembali Bermaharajalela’, ia menunjukkan bahawa kesatuan tersebut mahu pihak kementerian memastikan usaha untuk mengurangkan beban tugas guru-guru menjadi keutamaan.

Difahamkan, pihak NUTP telah menerima aduan daripada ahli-ahli mereka yang mengatakan golongan guru tidak hanya terbeban dengan kerja-kerja tidak relevan yang masih belum selesai sepenuhnya, malah ditambah dengan isu pengisian Deskripsi Tugas.

Kesatuan berkenaan berpendapat bahawa kerja-kerja pengisian itu terbeban dan tidak relevan kerana tujuan serta matlamat pengisian adalah tidak jelas.

Ia seumpama sekadar melengkapkan dokumen dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) atau hanya untuk kegunaan perkhidmatan.

Antara masalah yang dihadapi golongan guru adalah tempoh mengisi Deskripsi Tugas yang terhad dan terlalu terperinci, selain guru perlu mengisi sembilan bahagian bagi setiap gred, masalah teknikal iaitu butiran yang diisi dan disimpan hilang apabila dibuka semula serta kerja pengisian terganggu kerana sistem tergendala.

Ingin diingatkan kepada semua pihak bahawa tugas utama guru-guru adalah mengajar dan tidak sepatutnya dibebani dengan kerja-kerja perkeranian yang tidak relevan.

Pihak kementerian sepatutnya berdepan dengan NUTP bagi menyelesaikan masalah tersebut yang masih belum selesai sehingga kini.

Kerajaan juga perlu lebih peka tentang isu tersebut kerana jumlah guru di Malaysia adalah seramai 420,000 orang yang merupakan penjawat awam paling ramai dalam sektor kerajaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!