Bayi maut: Polis tidak temui unsur dera

Muhammad Hanif
Muhammad Hanif
A
A
A

IPOH - Bedah siasat yang dijalankan ke atas bayi lelaki berusia sembilan bulan yang maut dipercayai didera, semalam tidak menemui sebarang unsur penderaan.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, laporan juga tidak menunjukkan berlaku kecederaan fizikal pada tubuh badan mangsa.

Menurutnya, punca kematian mangsa disahkan berpunca daripada pendarahan dalam kepala iaitu terdapat darah beku.

"Polis telah menerima tiga laporan berkaitan kes ini, siasatan akan diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian.

"Kes kini disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bayi sembilan bulan maut dipercayai didera

Beliau berkata, berdasarkan laporan polis yang diterima, bayi berkenaan dihantar ke rumah pengasuhnya di kuarters Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dalam keadaan yang tidak sihat dan mengalami demam selama tiga hari.

"Ketika dalam jagaan pengasuh, bayi terbabit telah tidak sedarkan diri, tindakan serta merta diambil pengasuh dan ibu bayi berkenaan dengan menghantar mangsa ke Hospital Seri Manjung," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, bayi itu segera dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh berikutan keadaannya agak kritikal.

"Selepas berada di Unit Rawatan Rapi hospital berkenaan, bayi terbabit disahkan meninggal dunia," katanya.

Semalam, seorang bayi lelaki meninggal dunia selepas empat hari menerima rawatan akibat mengalami pendarahan dalam otak, disyaki didera.

Muhammad Firas Danial Muhammad Nizar yang baru dijaga oleh pengasuh berkenaan, tiga minggu lalu ditemui dalam keadaan kaku, pada Jumaat sekitar jam 10.30 pagi.

Jenazah mangsa selamat dikebumikan pada jam 3 pagi tadi di Kampung Kayan, Sitiawan.