X

Kindly register in order to view this article
!

SKMM beri amaran akhir kepada TM

A
A

SHAH ALAM - Telekom Malaysia Berhad (TM) diberi surat amaran akhir bagi mematuhi Seksyen 1.2 Kod Amalan Am Pengguna (GCC).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan hari ini berkata, surat amaran itu mengkehendaki TM sebagai pemberi perkhidmatan memberi maklumat yang mencukupi, tepat, benar, terbaharu dan dalam bahasa yang mudah serta tanpa berselindung kepada pengguna.

“Berkaitan isu perubahan kelajuan muat naik pakej Unifi 500Mbps, TM diminta memperbetulkan semua bahan promosi dan iklan di semua saluran hebahan serta membuat pelan komunikasi untuk pelanggan yang terjejas.

“TM mestilah pada sepanjang masa mengamalkan cara perniagaan beretika dengan memastikan bahan iklan dan promosi adalah tepat,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, TM juga diingatkan untuk memastikan pelanggan mereka menikmati kualiti perkhidmatan seperti yang terdapat dalam pakej yang dilanggan dan memberitahu pelanggan tentang isu-isu yang mungkin menyebabkan pengalaman penggunaan perkhidmatan mereka terganggu.

“SKMM akan memastikan bahawa hak pelanggan yang terjejas oleh kekeliruan yang timbul akibat perubahan maklumat pakej Unifi 500Mbps ditangani secara adil oleh TM.

“Kegagalan mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan melalui surat amaran akhir ini boleh menyebabkan tindakan diambil di bawah Seksyen 242, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih dua (2) tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, SKMM memandang berat kelemahan kawalan di TM hingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan pengguna.

“Bagi menambah baik perlindungan kepada pengguna, SKMM kini sedang menyemak semula GSC agar pihak pemberi perkhidmatan lebih prihatin dan beretika terhadap pengguna,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!