X

Kindly register in order to view this article
!

Debaran Sabah memilih

A
A

HARI ini adalah penentuan bagi politik Negeri Di Bawah Bayu, Sabah. Sejumlah 1.08 juta pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi menentukan siapa yang bakal menerajui pentadbiran negeri.

Sepanjang cerapan dua minggu di sini, amat sukar untuk meramalkan siapa yang akan muncul sebagai pemenang. Faktor parti, terutamanya dalam konteks parti nasional mahupun tempatan menjadi faktor kedua yang menjadi pertimbangan.

Sepanjang berkempen, baik Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menerusi Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) serta Warisan Plus (Warisan, DAP, UPKO & PKR) masing-masing tidak cuba memposisikan mereka sebagai parti nasional ataupun tempatan.

Ia lebih ketara dimainkan oleh parti-parti selain daripada GRS dan Warisan Plus.Menariknya, faktor itu secara ketara tidak banyak mempengaruhi tingkah laku pengundi.

Naratif parti yang sering dilontarkan oleh GRS bahawa Sabah akan lebih maju dan makmur kalau senada dengan parti nasional di persekutuan berjaya diimbangi oleh Warisan apabila naratif balas ‘Sabah Mandiri’ bahawa persekutuan lebih memerlukan Sabah atas faktor politik dan sumber ekonominya berjaya mengekang naratif GRS itu.

Sungguhpun begitu, Warisan dilihat terbeban dengan serangan terhadap isu PATI yang dikaitkan dengan parti itu.

GRS dilihat hadir terlalu lewat ketika PRN sudah pun bermula. Walaupun menyatukan BN dan PN sebagai wadah politik menghadapi PRN, tidak banyak yang dapat dilakukan oleh GRS.

Kejayaan memujuk PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) daripada menentang sesama sendiri di kerusi DUN Bingkor dan Tambunan mungkin antara yang boleh diperakukan. Namun begitu, serang-menyerang antara pimpinan PN dan BN (antara UMNO dan Bersatu) jelas memperlihatkan rapuhnya kerjasama dalam GRS menghadapi PRN Sabah ketika ini.

Apakah juga hari ini akan menyaksikan blok ketiga parti-parti tempatan seperti Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan), Parti Perpaduan Rakyat Sabah (PPRS), Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan), Parti Kerjasama Anak Negeri (Anak Negeri), Pertubuhan Perpaduan Rakyat Kebangsaan Sabah (PPRS), Parti Kebangsaan Sabah (PKS) serta 56 calon Bebas mampu memecah tradisi ataupun setidak-tidaknya menjadi kingmaker, sepertimana yang berlaku kepada dua kerusi STAR ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Mungkin disebabkan faktor inilah, parti-parti besar (GRS dan Warisan Plus) jarang menyerang parti-parti tersebut sepanjang kempen mereka.

Menyedari akan keadaan semasa yang sengit dan terbuka, membiarkan parti-parti tersebut bergerak sendirian dilihat bagi mengekalkan status quo dan mengekalkan kelebihan sekiranya keputusan pilihan raya tergantung disebabkan tiada majoriti diperoleh. Faktor tawaran dan ganjaran besar mungkin menjadi tarikan utama buat parti-parti tersebut sekiranya keadaan itu benar-benar berlaku malam nanti.

Untuk rekod keputusan PRU14 lalu antara BN dan Warisan (dengan mengambil kira 60 kerusi dipertandingkan ketika itu berbanding 73 sekarang), Warisan memiliki 11 kerusi selamat yang mencatatkan lebih 60 peratus undi daripada undi keseluruhan yang diterima menerusi lima kerusi Warisan di DUN Moyog (61.3 peratus), Karamunting (63.7 peratus), Sulabayan (74.9), Senallang (75.9 peratus) dan Bugaya (77.5 peratus), lima DAP di DUN Elopura (68.7 peratus), Kapayan (71.9 peratus), Sri Tanjong (72 peratus), Likas (82.6 peratus) dan Luyang (84.4 peratus) serta satu PKR di DUN Inanam (62.3 peratus).BN pula hanya memiliki dua kerusi selamat di DUN Karanaan (63.9 peratus) dan Sulaman (69.6 peratus).

Majoriti besar kerusi-kerusi yang dimenangi oleh BN ketika itu jatuh di kawasan-kawasan marginal (menang dengan undi kurang daripada 55 peratus) di 24 DUN berbanding Warisan (14 DUN). Bagi kerusi seimbang (undi 55 peratus - 60 peratus), BN menang di lima DUN berbanding empat DUN oleh Warisan.

Apa pun keputusannya kelak, suara orang Sabah harus dihormati. Seusai pesta demokrasi ini berakhir, 73 anggota Yang Berhormat (YB) terpilih wajib segera menjadi Yang Berkhidmat.

*Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Negeri Sembilan Kampus Seremban


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!