Keracunan gas dalam kereta: Nor Aqilah sudah boleh bercakap

Tiga sahabat maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 September lepas. Gambar kecil: Shafee Abd Samad
Tiga sahabat maut akibat keracunan karbon monoksida selepas tertidur dalam kereta sewaktu berehat di parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth pada 16 September lepas. Gambar kecil: Shafee Abd Samad
A
A
A

BUKIT MERTAJAM- Pelajar kolej yang terselamat daripada kejadian keracunan gas karbon monoksida di dalam sebuah kereta di tapak parkir stesen minyak pada 17 September lalu dilaporkan sudah boleh bercakap.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, bagaimanapun masih tidak boleh bangun.

Menurutnya, mangsa juga menunjukkan perkembangan positif apabila sudah boleh makan bubur nasi.

"Sekiranya keadaan kesihatannya semakin baik, mangsa akan ditukarkan ke wad biasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Petang kelmarin, Nor Aqilah dilaporkan sudah sedar daripada koma setelah dikomakan untuk tujuan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, mangsa masih di bawah pemantauan doktor dari masa ke masa.

Dalam kejadian minggu lalu, tiga daripada empat pelajar di sebuah kolej perubatan swasta di Batu Caves maut dipercayai akibat keracunan karbon monoksida apabila mereka tertidur semasa berehat di dalam kereta dengan cermin tingkap tertutup.

Kesemua mangsa menaiki sebuah kereta jenis Honda Odyssey dikatakan berhenti di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth selepas pulang dari Pulau Jerejak di Bayan Baru, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Karbon monoksida gas bertoksik yang membunuh

Mereka dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah.

Kesemua mangsa berhenti di stesen minyak itu pada jam 8.30 malam selepas Nor Aqilah yang memandu kereta tersebut memaklumkan dia pening dan muntah.

Empat sahabat itu ditemui tidak sedarkan diri di dalam kereta tersebut dengan keadaan enjin masih hidup oleh bapa Ayuni Shazwani Shabri kira-kira jam 12.30 tengah malam, 17 September lalu.

Dalam kejadian itu, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie dan Nor Adilah Mohd Safwan meninggal dunia, manakala Nor Aqilah kritikal selepas kesemuanya yang berusia 21 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri.

Nor Adilah yang merupakan kembar kepada Nor Aqilah pada awalnya terselamat namun meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada jam 4.23 petang Khamis lalu.