Kerajaan PN tidak tergugat walau ada cubaan untuk runtuhkan

Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih teguh dan tidak tergugat walaupun ada cubaan untuk meruntuhkannya apabila Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan baharu.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, tiada sebarang perubahan yang berlaku di peringkat kerajaan, sebaliknya menyifatkan tindakan Anwar itu sebagai satu sandiwara dan langkah terdesak untuk meraih sokongan rakyat Sabah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurutnya, langkah itu terpaksa dibuat kerana panik melihatkan situasi dan sokongan di Sabah lebih berpihak kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) iaitu gabungan parti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Saya melihat terdapat beberapa perkara yang menimbulkan panik di kalangan pemimpin mereka menjelang PRN Sabah. Antaranya, kenyataan yang dikeluarkan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berhubung pencerobohan Lahad Datu di Sabah yang merupakan satu kesilapan besar.

“Ia ibarat menghina pengorbanan wira-wira negara yang berjuang menentang pengganas yang amat dimarahi rakyat Sabah, juga beberapa isu lain. Mungkin disebabkan itu mereka berasa cemas kerana melihat kecenderungan rakyat di Sabah yang mahu menjadi sebahagian besar daripada PN,” katanya yang juga Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi.

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tuntut penjelasan UMNO

Sokongan UMNO kepada Anwar bersyarat, kata Dr Mahathir

Muhyiddin persoal jumlah sebenar ahli Parlimen sokong Anwar

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Anwar dalam satu sidang media mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang baharu, sekali gus menumbangkan kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan itu, pelbagai dakwaan timbul yang mengaitkan beberapa ahli Parlimen dari UMNO yang berpaling dan memberikan sokongan kepada Anwar dalam pembentukan kerajaan baharu.

Sebuah portal juga mendedahkan 19 nama pemimpin UMNO yang dikaitkan, namun beberapa ahli Parlimen yang dikaitkan tampil menafikan dakwaan berkenaan dan menyatakan komitmen berterusan bersama kerajaan PN.

Sementara itu, Amzad berkata, apa ypaling dikesalkan adalah tindakan Anwar itu yang disifatkan terburu-buru dan dibuat ketika Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sedang gering.

“Mengapa tidak menunggu Tuanku sihat dahulu? Tidakkah ia lebih bertatasusila dan sopan. Kenyataan seperti itu tidak sepatutnya keluar daripada pemimpin yang berpengalaman seperti presiden parti itu,” katanya.