Masjid kampung Belimbing Dalam mungkin antara tertua di Malaysia

Sebahagian sruktur bangunan Masjid Belimbing Dalam menggunakan batu laterit yang masih kukuh.
Sebahagian sruktur bangunan Masjid Belimbing Dalam menggunakan batu laterit yang masih kukuh.
A
A
A

ALOR GAJAH - Struktur binaan Masjid lama di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal di sini, yang kini dianggarkan cuma tinggal 30 peratus didakwa telah wujud pada abad ke-17 sekali gus berusia ratusan tahun.

Pembinaannya yang menggunakan batu laterit yang ditafsir sebagai batu kiub oleh Portugis menggambarkan masjid berhampiran Sungai Melaka itu dipercayai wujud sebelum kedatangan Portugis atau Belanda ke Melaka.

Pemangku Pengarah Institut Alam Tamadun Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Zulkifli Ramli berkata, melihat keistimewaan senibina dan material yang digunakan bagi pembinaan rumah ibadat itu, berkemungkinan ia antara masjid tertua di Malaysia dan dibina sekitar 1,500 tahun iaitu ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Menurutnya, senibinanya yang masih kukuh dan reka bentuk batu laterit yang sama saiz turut mentafsirkan bahawa mereka pada zaman itu hebat serta dipercayai telah mula menggunakan teknologi untuk menghasilkan batu sama bentuk.

Justeru katanya, kajian lanjut seperti ekskavasi arkeologi dan dilapidasi perlu dilakukan diikuti proses pemuliharaan monumen supaya bahan kajian yang mempunyai nilai sejarah tersendiri tidak terbiar serta ditenggelamkan zaman.

"Sebagai ahli arkeologi, kita perlu buktikan ia dengan hasil kajian dan mungkin juga bangunan ini pernah dilakukan penambah baikan dan pembesaran. Kajian yang dilakukan termasuk menghantar bahan bukti seperti batu laterit dan sebagainya ke Amerika Syarikat (AS) untuk mendapatkan pentarikhan batu laterik lebih tepat dan mutlak," katanya.

Tambah beliau, pembinaan bangunan itu juga sama seperti tembok A'Famosa yang sebenarnya dibina atas runtuhan Kota Melaka berdasarkan struktur binaan sama dengan batu laterit.

"Walaupun ramai tidak setuju A'Famosa dibina dari batu laterit, tapi kita ada bukti tembok A'Famosa dibina atas runtuhan Kota Melaka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bangunan masjid Belimbing Dalam yang telah lama terbiar menunjukkan ia dibina menggunakan batu laterit.
Bangunan masjid Belimbing Dalam yang telah lama terbiar menunjukkan ia dibina menggunakan batu laterit.

Beliau turut mencadangkan pihak berkepentingan seperti kerajaan negeri dapat bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk merealisasikan proses pemuliharaan masjid di Kampung Belimbing Dalam itu.

"Mungkin cadangan proses pemuliharaan adalah dengan memindahkannya ke lokasi yang bersesuaian agar masjid lama ini tidak terbiar.Kita harap apabila kita membuat kajian dan baik pulih semula, masjid ini tidak terbiar lagi," katanya.

Pengasas Maktab Penyelidikan Tamadun Melayu dan Islam, Hasanuddin Yusof juga tidak menolak seni reka masjid yang unik dengan laluan air dari punca utama air ke kolah mengambil wuduk menggambarkan kepandaian dan kehebatan orang Islam pada zaman tersebut.

Hasanuddin
Hasanuddin

Menurutnya, penggunaan batu laterit sama seperti pembinaan Perigi Hang Tuah di Duyong dan beberapa masjid lain di Nusantara, Selatan Thailand, Myanmar yang turut mempunyai ciri-ciri sama membuktikan kegemilangan agama Islam yang tersebar luas pada zaman itu.

Menurutnya, melihat senibina masjid tersebut menggunakan batu laterit, bata nipis dan tanggam pada kayu seperti bingkai tingkap, seolah-olah masjid tersebut dibina pada abad ke-18.

"Barangkali ia dibina lebih awal dan tidak mustahil jika Portugis tidak menguasai Melaka, ini adalah masjid pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

"Sekiranya dapat dibuktikan ia dibina pada zaman Melayu Melaka abad ke-17, bermakna masjid ini lebih tua berbanding Masjid Kampung Laut di Kelantan yang menggunakan material kayu," kata beliau.

Tambahnya, beliau berharap peninggalan sejarah yang masih ada diselamatkan dan dipulihara demi masa depan generasi muda dan sejarah negara.

"Sedangkan Masjid Kampung Laut yang menggunakan senibina kayu boleh dipindahkan inikan pula (masjid) menggunakan batu laterit yang masih kukuh dan ia perlu diselamatkan," katanya.

Struktur bangunan Masjid Belimbing Dalam yang didakwa wujud pada Kesultanan Melayu Melaka dan hanya tinggal 30 peratus terbiar begitu sahaja.
Struktur bangunan Masjid Belimbing Dalam yang didakwa wujud pada Kesultanan Melayu Melaka dan hanya tinggal 30 peratus terbiar begitu sahaja.