Projek tak siap, duit hampir RM1 juta lesap

M Zambri Mahmud
M Zambri Mahmud
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pemilik sebuah syarikat di Dungun terpaksa menanggung kerugian hampir RM1 juta selepas ditipu seorang lelaki yang dilantik sebagai kontraktor bagi membina dan menyiapkan projek stesen minyak di Kelantan.

Kejadian dipercayai berlaku selepas lelaki berusia 50-an mengambil keputusan melantik suspek yang dikenalinya untuk mengendalikan projek berkenaan pada awal Ogos tahun lalu.

Sumber berkata, kerja-kerja pembinaan bermula pada Ogos tahun lalu dan dijangka siap pada Mac lalu mengikut perjanjian kontrak namun difahamkan syarikat kontraktor berkenaan mengalami kerugian dan ditamatkan kontrak projek kerana dikesan berlakunya pecah amanah.

"Sebelum itu, pada November lalu, syarikat mangsa sudah mengeluarkan invois tuntutan bagi kerja-kerja yang dilakukan ke atas projek tersebut bernilai hampir RM1 juta kepada suspek namun mangsa dimaklumkan wang tersebut digunakan untuk kegunaan peribadi sebelum dia berkali-kali meminta agar dipulangkan semula wang tuntutan itu tetapi suspek gagal berbuat demikian tanpa sebarang alasan munasabah.

"Sehingga semalam (kelmarin), suspek masih gagal menyerahkan wang tuntutan yang sudah digunakannya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kata sumber, tidak berpuas hati dengan perbuatan suspek yang melakukan pecah amanah itu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis kelmarin untuk tindakan selanjutnya selain mahu menuntut kembali wangnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan kerana pecah amanah.

Artikel Berkaitan: