SPRM digesa buka semula siasatan terhadap Shafie Apdal

Jafery menunjukkan bukti yang dibawa ke pejabat SPRM Kota Kinabalu hari ini.
Jafery menunjukkan bukti yang dibawa ke pejabat SPRM Kota Kinabalu hari ini.
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membuka semula siasatan terhadap Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd Shafie Apdal.

Ketua Bahagian STAR Kapayan, Jafery Jomion berkata, laporan kepada SPRM dibuat berhubung kes berprofil tinggi ahli politik di negeri ini.

"Tujuan kami datang ke Pejabat SPRM ini untuk memaklumkan supaya kes Mohd Shafie yang pernah dibuka kertas siasatan diteruskan dan dihakimi di mahkamah.

"Sebelum ini, kes sudah ada tetapi digugurkan, jadi kami sebulat suara dengan satu solidariti kami meminta supaya perkara ini dapat diteruskan supaya rakyat akan melihat bahawa kita ada pentadbiran yang lebih baik," katanya kepada pemberita di pejabat SPRM, di Kota Kinabalu hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut meminta SPRM menyiasat pemberian projek negeri bernilai RM1.5 bilion terhadap empat syarikat yang dilihat meragukan.

Jafery mendakwa, pemberian kontrak itu dilakukan secara terus oleh kerajaan negeri tanpa melihat latar belakang atau profil syarikat.

"Syarikat itu tidak berupaya mengambil projek yang diberikan kerana tiada keuntungan malah alami kerugian.

"Mereka sepatutnya sebagai kerajaan harus melihat profil syarikat dan kalau prestasi bagus, boleh dipertimbangkan, kalau prestasi teruk bagaimana boleh beri kontrak kepada syarikat yang tiada kemampuan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy ketika dihubungi hari ini mengesahkan pihaknya ada menerima laporan itu.