X

Kindly register in order to view this article
!

Lesap RM121,300 diperdaya Macau Scam

Mangsa menyedari ditipu selepas memeriksa akaun Agrobanknya pada Ahad lalu. - Foto 123RF
A
A

ALOR SETAR - Seorang Penolong Pegawai Tadbir berusia 43 tahun mengalami kerugian sebanyak RM121,300 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang mendakwa mangsa mempunyai kaitan dengan kes jenayah pada Januari lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, penipuan itu disedari mangsa yang berasal dari Baling selepas memeriksa akaun Agrobanknya pada Ahad lalu dan mendapati terdapat 17 kali pindahan wang secara dalam talian bermula 30 Januari 2020 sehingga 29 Jun 2020 ke 11 akaun bank berbeza.

Menurutnya, kejadian itu berlaku selepas mangsa menerima panggilan daripada seorang wanita yang mengaku sebagai pegawai CIMB Bank Kuala Lumpur berhubung satu tunggakan pinjaman peribadi selama tiga bulan pada 28 Januari lalu sebelum talian disambung kepada seorang lagi lelaki yang mengaku anggota polis berpangkat Sarjan dari Balai Polis Seri Kembangan bagi membuat aduan tentang pinjaman peribadi tersebut.

"Panggilan tersebut kemudiannya disambung pula kepada seorang suspek perempuan yang mengaku seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Bahagian Pengubahan Wang Haram Bukit Aman dan kemudiannya meminta beberapa butiran peribadi mangsa termasuklah akaun bank mangsa yang tidak aktif," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek kemudiannya memberitahu panggilan akan disambungkan kepada pegawai atasan agar mangsa boleh membuat rayuan bagi meringankan hukuman.

Bagaimanapun, katanya, pegawai terbabit meminta mangsa hadir ke Agrobank berhampiran bagi mengemas kini maklumat akaun bank mangsa termasuk menukar nombor telefon mangsa kepada nombor telefon diberi suspek serta diarahkan ke Maybank berhampiran bagi mengeluarkan simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) mangsa.

"Wang tersebut dipindahkan ke akaun Agrobank tersebut dengan alaşan bagi tujuan pemantauan pihak Bank Negara bagi mengesahkan wang tersebut adalah bersih dari wang haram," katanya.

Beliau berkata, selepas kejadian itu, mangsa kemudian dihubungi suspek hampir setiap hari bagi meminta wang tambahan sehingga mangsa terpaksa membuat beberapa pinjaman peribadi dari Bank Islam dan RHB Bank untuk dimasukkan ke dalam akaun Agrobanknya.

Keadaan itu berlanjutan sehingga Jun lalu apabila mangsa turut diminta menunggu siasatan selain mengarahkan untuk tidak membuat apa-apa semakan atas akaun Agrobank tersebut kerana akan mengganggu siasatan.

Bagaimanapun, mangsa kemudian menyedari ditipu dan membuat laporan polis di Baling semalam.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!