X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga ahli Parlimen kekal sokong Muhyiddin

(Dari kiri) Tajuddin, Dr Abd Latiff dan Mohd Salim membuat kenyataan bersama menyokong kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin pada Program Kopi-Kopi dan Kasihi Pekebun Bersama Menteri KPLB di Kampung Lohan, Ranau.
A
A

RANAU - Tiga Ahli Parlimen membuat kenyataan bersama menyatakan pendirian mereka kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kenyataan itu dibuat oleh Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif yang merujuk kepada kenyataan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan baharu pada tengah hari tadi.

Abd Latiff berkata, beliau berlapang dada mengenai dakwaan Ahli Parlimen Port Dickson itu namun perkara itu perlu ditentukan oleh Parlimen.

"Jadi kita tunggulah bila Parlimen bersidang sama ada prosesnya mesti dijatuhkan atau undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang sedia ada.

"Bila jatuh kerajaan Perikatan Nasional (PN), proses demokrasi itu perlu berjalan di bawah Yang di-Pertuan Agong, tidak ada proses melantik Parlimen yang boleh menjatuhkan mana-mana Perdana Menteri yang telah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyatakan pendiriannya sebagai ahli dewan rakyat mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PN.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak jika ada berlaku ahli Parlimen yang melompat namun beliau tidak terlibat dan menganggap bahawa kenyataan Anwar itu adalah berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang berlangsung di Sabah kini.

"Mungkin... Tetapi bukan saya, saya tiada info (mengenai ahli parlimen melompat), beliau boleh mengaku apa juga kenyataan tetapi apa yang paling penting adalah ekoran daripada kenyataan beliau, kenapa kenyataan itu dibuat ketika PRN Sabah.

"Saya mungkin silaplah, tetapi telahan saya mudah saja, Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah tiada ada sambutan apa-apa di Sabah, dulu beliau bertanding sembilan kerusi, menang dua kerusi," katanya.

Sementara, Tajuddin menyatakan bahawa beliau masih kekal dalam parti UMNO dan menyokong kerajaan PN.

"Pertama kenyataan saya adalah beliau (Anwar) harus membuktikan kenyataannya di Dewan, bukan di luar. Dalam Dewan, beliau perlu buktikan beliau mempunyai sokongan lebih daripada PN.

"Parlimen belum bersidang dan mungkin pada bulan 11 (November) atau 12 (Disember). Lagi satu, Anwar terkenal dengan sandiwara, dulu 16 September beliau mempunyai angka untuk membentuk kerajaan tetapi gagal.

"Jadi kita tidak terkejut dengan sandiwara beliau, walau bagaimanapun kalau pun betul beliau mempunyai angka, ia tidak automatik membentuk kerajaan dan menjadi Perdana Menteri," katanya.

Sehubungan itu, Tajuddin berkata, adalah lebih baik kembalikan kepada rakyat sebagai jalan penyelesaian yang terbaik dalam perkara itu.

"Kembalikan kepada rakyat dan dapatkan mandat daripada rakyat, siapa rakyat mahu untuk memimpin kerajaan. Ini pandangan peribadi saya sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO," katanya.

Mohd Salim pula turut menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin selaku Perdana Menteri Malaysia.

"Saya dapat tahu bahawa ada kenyataan Anwar yang menyatakan mempunyai angka untuk membentuk kerajaan.

"Kami terperanjat kerana saya nampak tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba pokok bergoyang... Kalau nak kata UMNO melompat, tiada seorang pun nak melompat, nak kata Gabungan Parti Sarawak (GPS), tiada seorang pun saya dapat tahu, Kabinet semua berada dalam keadaan tenang," katanya.

Sehubungan itu, beliau menyifatkan kenyataan itu adalah sebagai salah satu muslihat dalam politik memandangkan 26 September adalah hari terakhir di Sabah mengundi.

"Ini tipu muslihat apabila 26 September adalah hari terakhir untuk buang undi, ini fasa goyangkan hati rakyat kononnya beliau bakal Perdana Menteri.

"Ini permainan dalam pilihan raya, jadi 114 (kerusi) tidak ada satu pun berubah dan kita selesa dengan kerajaan hari ini, yang penting rakyat cukup terbela.

"Saya menganggap ini strategik dan taktikal yang dimainkan oleh pihak PKR sendiri iaitu Anwar. Jadi rakyat tidak perlu risau," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!