Jarum ditemui dalam strawberi di pasar raya New Zealand

Jarum berkenaan ditemui dalam sebakul kecil strawberi. - FOTO HIASAN
Jarum berkenaan ditemui dalam sebakul kecil strawberi. - FOTO HIASAN
A
A
A
WELLINGTON - NEW ZEALAND. Pihak polis mengesahkan penemuan jarum dalam buah strawberi di New Zealand, insiden kedua seumpamanya dalam tempoh dua bulan selepas kes sama melanda Australia.

Jurucakap polis New Zealand semalam berkata, jarum berkenaan ditemui dalam sebakul kecil strawberi yang dijual di pekan Geraldine di South Island hujung minggu lalu.

Pemilik pasar raya Fresh Choice, Garry Sheed berkata pihaknya telah menarik semula kesemua buah berkenaan tetapi tidak menyatakan sama ada ia berasal dari Australia atau keluaran tempatan.

Sementara itu, Kementerian Perindustrian Utama (MPI) New Zealand berkata, individu yang menemui jarum itu di Geraldine tidak mengalami sebarang komplikasi kesihatan.

“Kes telah dirujuk kepada polis untuk siasatan jenayah. Buat masa ini MPI tidak mempunyai sebarang sebab untuk mempercayai ia sudah tersebar luas tetapi langkah penjagaan awal diambil dengan menarik semula buah itu dari pasaran,” kata kementerian terbabit.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, insiden seumpama ini berlaku di Australia pada September lalu, apabila lebih 200 kes jarum tertanam dalam buah strawberi dilaporkan di negara itu, namun ada antara kes dilaporkan itu hanya palsu atau tersalah lapor.

Seorang wanita warga Australia berusia 50 tahun yang juga bekas pekerja di sebuah ladang strawberi ditahan kerana disyaki melakukan perbuatan sabotaj itu untuk membalas dendam. - AFP