Mohamaddin nafi hina anggota keselamatan

Mohammadin Ketapi
Mohammadin Ketapi
A
A
A

KOTA KINABALU - Ahli Parlimen Silam, Datuk Mohamaddin Ketapi hari ini menafikan beliau menghina anggota keselamatan yang berjuang di Tanduo dalam isu pencerobohan di Lahad Datu tetapi ia berkaitan kegagalan kerajaan Barisan Nasional (BN) memantapkan aset sempadan.

"Saya tidak pernah menghina anggota keselamatan tetapi kegagalan BN sehingga memungkinkan kejadian pencerobohan berlaku," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menjelaskan kenyataannya ketika berada di kempen Kampung Wawasan telah di salah erti.

"Ketika memberikan ceramah itu, saya memberikan gambaran kesukaran yang dihadapi oleh anggota keselamatan mempertahankan kedaulatan negara yang berpunca daripada kelemahan kerajaan terdahulu dalam menyelesaikan isu pendatang tanpa izin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis terima laporan terhadap kenyataan Mohamaddin: KPN

Mohammadin berkata, seharusnya video yang ditularkan itu dimainkan sepenuhnya dan bukan hanya merujuk kepada soal itu semata-mata.

"Saya mengutuk sekeras-kerasnya permainan kotor pihak tertentu yang jelas menjatuhkan maruah Parti Warisan Sabah (Warisan)

"Sekiranya isu pendatang tanpa izin (PATI) menjadi keutamaan kerajaan terdahulu, kejadian di Tanduo tidak mungkin berlaku.

"Oleh itu, saya sekali lagi ingin menegaskan bahawa saya sama sekali tidak menghina anggota keselamatan kita yang bertugas semasa kejadian di Tanduo seperti yang di putar belit oleh pihak lawan khususnya parti dari Semenanjung,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau turut memohon maaf sekiranya video yang ditularkan dengan niat jahat itu mengguris anggota keselamatan keseluruhannya.

Terdahulu, satu video berdurasi dua minit 30 saat tular di media sosial dan memaparkan berhubung ucapan beliau mengenai pencerobohan di Tanduo Lahad Datu.

Ucapan beliau dalam video itu kemudian mendapat perhatian daripada pemimpin pihak parti lawan.