KPLB bangun luar bandar menerusi program Kemas

Henry (dua dari kiri) menyampaikan sijil dan cenderahati kepada kakitangan Kemas Sipitang pada Program Komuniti Sejahtera (PKS) Kemas Daerah Sipitang, Sipitang semalam.
Henry (dua dari kiri) menyampaikan sijil dan cenderahati kepada kakitangan Kemas Sipitang pada Program Komuniti Sejahtera (PKS) Kemas Daerah Sipitang, Sipitang semalam.
A
A
A

SIPITANG - Hasrat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bagi memastikan kawasan luar bandar tidak ketinggalan dalam pembangunan dapat direalisasikan menerusi pelaksanaan pelbagai program dan aktiviti di bawah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong berkata, usaha untuk membantu masyarakat di pelbagai peringkat usia dapat dilihat menerusi program yang dilaksanakan pada tahun ini.

Menurutnya, kanak-kanak merupakan antara pihak yang mendapat manfaat menerusi aktiviti yang dilaksanakan Kemas melalui program di taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Sipitang.

“Di Sipitang ini sahaja ada 45 Tabika dengan 41 pemaju masyarakat sedang memberikan pendidikan awal kepada seramai 566 kanak-kanak berusia lima dan enam tahun.

“Bagi Taska di Sipitang pula, terdapat tiga Taska khas untuk 55 kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun dan melibatkan tujuh pemaju masyarakat.

“Melihat pada jumlah kanak-kanak yang berdaftar di Tabika dan Taska Kemas, saya yakin bahawa pusat didikan kanak-kanak ini terus dipercayai dan diterima oleh masyarakat di Sipitang dalam memberikan pendidikan awal untuk anak mereka,” katanya ketika berucap pada Program Komuniti Sejahtera (PKS) Kemas Daerah Sipitang di sini semalam.

Henry melawat kelas Tabika ketika menghadiri Program Komuniti Sejahtera (PKS) Kemas Daerah Sipitang, Sipitang semalam.
Henry melawat kelas Tabika ketika menghadiri Program Komuniti Sejahtera (PKS) Kemas Daerah Sipitang, Sipitang semalam.

Beliau berkata, Kemas turut memberikan peluang kepada masyarakat terutama golongan wanita untuk menambah kemahiran melalui kelas kemahiran yang dibuka di kawasan kampung.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, katanya, Kemas juga melaksanakan Pendidikan Kesejahteraan Keluarga (PKK) dan terdapat 12 kelas yang dilaksanakan di Sipitang setakat ini.

Henry berkata, beliau percaya menerusi kelas berkenaan banyak aktiviti yang didedahkan kepada peserta untuk menambah kemahiran mereka.

“Kemahiran ini walaupun kita lihat sebagai sesuatu yang ringkas tetapi berguna untuk dijadikan sebagai sumber menambah pendapatan kepada penduduk di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, prihatin dengan golongan buta huruf, Kemas turut melaksanakan program Kelas Pendidikan Literasi Fungsian (PLF) supaya golongan itu dapat membaca, mengira dan menulis.

“Tahun ini, terdapat satu kelas PLF di buka di Sipitang dengan jumlah pesertanya seramai 11 orang dan ini sebagai petanda baik bahawa kadar masyarakat di luar bandar yang buta huruf semakin berkurangan.

“Begitu juga bagi memastikan masyarakat kini supaya lebih celik IT, Kemas turut menyediakan menyediakan Kelas Pendidikan Literasi Komputer (PLK) sebagai kemudahan untuk mempelajari kemahiran komputer kepada penduduk,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap program dan aktiviti anjuran Kemas akan terus mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat setempat khususnya di luar bandar.

“Ia boleh dijadikan sebagai landasan dalam merealisasikan matlamat untuk membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar keseluruhannya,” kata Henry.