KPLB naik taraf jalan kampung

Henry turut meninjau pelaksanaan projek naik taraf Jalan Premix Simpang Utama Kampung Pulai Manang, Bukau, Beaufort semalam.
Henry turut meninjau pelaksanaan projek naik taraf Jalan Premix Simpang Utama Kampung Pulai Manang, Bukau, Beaufort semalam.
A
A
A

BEAUFORT - Pelaksanaan projek menaik taraf jalan sepanjang 500 meter di Kampung Bangkalalak di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) bukan sahaja memberikan manfaat kepada penduduk tetapi juga pekebun kecil di sekitar kawasan terbabit.

Projek melibatkan kos sebanyak RM300,000 yang dijalankan secara berfasa itu siap sepenuhnya pada Mei lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar II, Datuk Henry Sum Agong berkata, selain memudahkan penduduk, infrastruktur itu akan turut membantu pekebun dan petani mengeluarkan pelbagai produk atau tanaman mereka seperti kelapa sawit untuk dipasarkan di luar kawasan kampung.

“Hari ini (semalam) saya meninjau projek naik taraf Jalan Premix Simpang Utama Kampung Bangkalalak dan Jalan Premix Simpang Utama Kampung Pulai Manang Bukau, di Beaufort.

“Kedua-dua projek ini masing-masing melibatkan kos sebanyak RM300,000 dan kemudahan ini akan dimanfaatkan oleh kira-kira 200 penduduk di sekitarnya,” kata beliau.

Henry berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Jalan Perhubungan Desa (JPD) di Kampung Bangkalalak di sini semalam.

Mengulas lanjut mengenai lawatannya itu, beliau berpuas hati dengan pelaksanaan kerja naik taraf terbabit walaupun dilaksanakan secara berfasa atau berperingkat.

Terdahulu, beliau berkata, kementeriannya melaksanakan 206 projek naik taraf dan bina baharu JPD sedia ada di Sabah dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM55.6 juta sepanjang tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, KPLB meluluskan dan memperuntukkan sebanyak kira-kira RM5 juta untuk Projek Perhubungan Desa sahaja yang melibatkan 21 projek di Beaufort.

“JPD ini adalah jalan-jalan yang menghubungkan antara sebuah kampung dengan kampung yang lain atau menghubungkan kampung dengan jalan raya utama,” katanya.