Beras untuk kehidupan

PERSPEKTIF

Gambar hiasan - Foto sumber internet
Gambar hiasan - Foto sumber internet
A
A
A

"ADA yang hilang pekerjaan yang menjadi punca pendapatan tetap dan stabil sebelumnya dan ada juga yang tidak dapat bekerja seperti biasa dan telah terjejas punca pendapatan."

Beras merupakan bijiran yang berfungsi sebagai makanan ruji terutama bagi mereka yang tinggal di Asia. Khusus bagi orang Cina, ia memainkan peranan penting dalam budaya hidup mereka. Masyarakat Cina telah makan nasi sejak ribuan tahun yang lepas.

Bagi kebanyakan orang Cina, mereka telah memupuk kehidupan dan tanah mereka dengan semua kerja keras untuk beras. Boleh dikatakan beras merupakan salah satu sumber makanan paling penting untuk kebanyakan orang Cina.

Ahli falsafah Cina yang terkenal, Lao Tzu, pernah berkata, “Mentadbir sebuah negara yang besar adalah seperti memasak ikan”.

Apa yang dimaksudkan oleh beliau adalah untuk memerintah sesebuah negara adalah ibarat memasukkan perencah-perencah yang betul ke dalam masakan dan memerlukan pengubahsuaian tertentu untuk mendapatkan hasil yang baik. Kiasan ini jelas menunjukkan peri pentingnya makanan di dalam minda masyarakat Cina ketika itu.

Beras juga penting bagi masyarakat Islam. Setiap tahun, apabila tiba bulan Ramadan, umat Islam berlumba-lumba melakukan kebaikan. Selain ibadat puasa, Ramadan juga berkait rapat dengan tuntutan untuk melaksanakan satu lagi ibadat wajib, iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah yang perlu dibayar adalah mengikut harga beras yang dimakan.

Kita biasa baca di dada-dada akhbar, masih ramai lagi yang kurang bernasib baik; tiada makanan untuk mengisi perut menyebabkan mereka sentiasa kelaparan, lebih-lebih lagi setelah dilanda wabak Covid-19 yang meninggalkan kesan besar ke atas semua lapisan masyarakat.

Ada yang hilang pekerjaan yang menjadi punca pendapatan tetap dan stabil sebelumnya dan ada juga yang tidak dapat bekerja seperti biasa dan telah terjejas punca pendapatan. Apatah lagi mereka yang sedia ada susah; sudah pasti beban semakin berat.

Bagi membantu golongan ini, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB) dengan kerjasama Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Persatuan Sindrom Down Negeri Kelantan (PSDNK) dan Yayasan Kaseh Kanser & Kronik (YKKK) telah melancarkan kempen “Rice For Life” ataupun beras untuk kehidupan bagi membantu golongan B40, tidak kira fahaman politik, warna kulit serta agama mereka. Alhamdulillah, ramai dermawan yang memberikan sumbangan wang tunai mahupun beras.

Acara penyampaian sumbangan beras telah dilakukan di perkarangan pejabat Macma Kelantan di Taman Maju baru-baru ini dengan lebih 150 penerima dari seluruh Kelantan. Selain dua kampit beras 5 kg, para penerima turut menerima sumbangan bahan makanan lain serta wang tunai.

Para hadirin dijamu dengan apam balik dan air tebu. Lima orang tukang gunting rambut turut berada di majlis tersebut untuk memberikan perkhidmatan gunting rambut secara percuma.

Artikel Berkaitan:

Sekampit beras 5 kg yang berharga RM14 itu mungkin tidak membebankan bagi kita untuk membelinya tetapi amat sukar bagi mereka yang miskin lagi daif sehingga ada yang perlu meminjam beras daripada jiran atau kawan ataupun beli secara pinjam di kedai-kedai runcit yang ada buku catatan “555”. Ada yang diherdik kerana memohon untuk meminjam beras. Amat menyedihkan.

Beras bukan sekadar bijiran yang perlu dimasak untuk menjadi nasi. Sebagai makanan asas, ia simbol kehidupan. Maka, sama-samalah kita cakna terhadap ahli keluarga, jiran, sahabat atau sesiapa yang mungkin sahaja amat memerlukan perhatian serta bantuan kita.

Semoga juga lebih banyak pihak NGO yang menjalankan program sebegini agar tiada lagi masalah orang miskin yang kelaparan kerana tiada nasi atau makanan untuk mengisi perut.

* Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan