X

Kindly register in order to view this article
!

Enam mayat dipercayai PATI ditemui di pantai

A
A

KOTA TINGGI - Enam mayat dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia ditemui di Pantai Teluk C, Bandar Penawar di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, pusat kawalan polis daerah menerima panggilan kira-kira jam 9.40 pagi daripada orang awam memaklumkan mereka terjumpa beberapa mayat di pesisiran pantai terbabit.

Beliau berkata, anggota dari Balai Polis Bandar Penawar dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pergi ke lokasi kejadian dan menemui enam mayat terdiri daripada empat wanita dewasa dan dua lelaki dewasa berusia lingkungan 31 hingga 46 tahun.

"Mangsa dipercayai pendatang tanpa izin daripada Indonesia yang ingin masuk ke Malaysia melalui jalan laut di kawasan tersebut.

"Mangsa dipercayai lemas apabila turun daripada bot pancung disebabkan ombak besar," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Hussin, polis dan Angkatan Tentera Malaysian (ATM) seterusnya menahan enam lelaki warganegara Indonesia dipercayai daripada kumpulan yang sama, kira-kira satu kilometer daripada tempat kejadian.

"Kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru untuk bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Manakala enam tangkapan migran Indonesia diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!