X

Kindly register in order to view this article
!

Konkrit hempap kereta: Tindakan tegas jika wujud unsur kecuaian

Fadillah Yusof
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kerja Raya mengarahkan tindakan tegas diambil susulan insiden parapet atau panel konkrit tembok sisi jambatan terjatuh dari struktur binaan lebuh raya projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) semalam sehingga menghempap sebuah kereta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, insiden berkenaan tidak seharusnya berlaku dan kementeriannya tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan dan nyawa orang ramai.

Beliau yang juga menteri kanan berkata, tindakan tegas akan diambil berdasarkan hasil siasatan yang dibuat.

"Pada masa sama, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga telah diarah supaya melaksanakan audit menyeluruh pada kadar segera ke atas kerja-kerja melibatkan keselamatan awam.

"Bagi kementerian, isu keselamatan di tempat kerja amat penting diambil perhatian dan dipatuhi oleh setiap pekerja yg terlibat dalam kerja-kerja pembinaan. Mereka bukan sekadar perlu tahu dan faham sahaja tetapi perlu mengimplikasi sepenuhnya sebelum, semasa dan selepas pembinaan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadillah berkata, kejadian parapet jatuh menimpa kenderaan awam semalam boleh dielakkan sekiranya semua pihak terlibat mematuhi garis panduan kerja yang diluluskan dari segi spesifikasi dan kontrak.

Sementara itu, Fadillah berkata, berdasarkan maklumat terkini daripada keluarga, mangsa yang mengalami kecederaan dan menerima rawatan di hospital kini dalam keadaan stabil.

"Mangsa juga telah diberikan bantuan sepenuhnya untuk meringankan beban beliau.

"Tindakan serta-merta telah diambil dengan pihak pemaju utama MRCB Builders telah memberi Arahan Memberhenti Kerja atau Stop Work Order kepada subkontraktor (Makna Setia Sdn Bhd) dan menutup lokasi kejadian untuk tujuan siasatan," katanya.

Fadillah berkata, LLM dan kementerian kini melaksanakan semakan keselamatan dan tindakan akan diambil untuk menyemak pelaksanaan tanggungjawab di semua peringkat sama ada di peringkat pemantauan, kualiti, rekabentuk dan metodologi kerja.

Menurutnya, pihak LLM dan Prolintas sudah diarahkan supaya menyemak semula reka bentuk dan pembinaan yang melibatkan risiko kepada orang awam sebelum kerja-kerja di semua projek SUKE dan Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dapat diteruskan semula.

"Kerajaan akan merujuk pihak perunding kepada pihak Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) jika didapati terdapat unsur-unsur kecuaian dari segi reka bentuk dan pemantauan tapak. Tindakan tegas akan diambil kepada individu yang didapati cuai semasa pelaksanaan pembinaan," katanya.

Dalam insiden kira-kira jam 5.45 petang berhampiran Bandar Tasik Selatan semalam, seorang wanita nyaris maut apabila kereta Proton Saga dipandunya remuk dihempap panel konkrit berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!