Kementerian Kerja Raya kenal pasti 38 projek sakit

Dr Zaliha (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan dokumen daripada Ir Suhaili kepada Mohd Rashidi (kanan) pada majlis penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7 di Klinik Kesihatan Mata Ayer pada Sabtu.
Dr Zaliha (dua dari kanan) menyaksikan penyerahan dokumen daripada Ir Suhaili kepada Mohd Rashidi (kanan) pada majlis penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7 di Klinik Kesihatan Mata Ayer pada Sabtu.
A
A
A

MACHANG - Kementerian Kerja Raya mengenal pasti 38 projek sakit daripada 717 projek di bawah seliaan kementerian berkenaan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, masalah itu berlaku di seluruh negara melibatkan pelbagai kategori selepas melebihi 20 peratus kelewatan.

Menurut beliau, ada projek yang terhenti sementara tetapi selepas itu dimulakan semula kerana Jabatan Kerja Raya akan memantau pergerakan projek itu.

"Antara faktor projek sakit ialah pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19, kekurangan tenaga buruh dan isu lot tanah yang perlu dipindah milik.

"Bagaimanapun, kontraktor akan meneruskan projek supaya dapat mengelakkan pembayaran denda lewat dan memastikan projek mereka tidak terjejas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Klinik Kesihatan Jenis 7, Mata Ayer Machang di sini pada Sabtu yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Dr Zaliha Mustafa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Suhaili Ismail dan Timbalan Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Pembangunan Kementerian Kesihatan, Mohd Rashidi Yahaya.

Abdul Rahman memberitahu, sebanyak 72 projek membabitkan fasiliti kesihatan sedang dalam pembinaan mengikut jadual dan 27 mengalami sedikit kelewatan tetapi tidak dikategorikan sebagai projek sakit.

"Kementerian menambah baik fasiliti kesihatan melalui Program Sijil Kursus Kompetensi Kontraktor Kesihatan (SKKK) yang berlangsung di Melaka pada 29 Mei lalu.

"Kursus ini bertujuan mewujudkan kriteria menyeluruh bagi pelantikan kontraktor khusus meningkatkan sektor kesihatan negara," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahman menjelaskan, kementerian itu tidak pernah meminggirkan projek di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kelantan.

Beliau memberitahu, tiada projek sakit melibatkan KKM di negeri ini kerana Kementerian Kerja Raya sentiasa menasihati pengarah negeri dan mengikuti perkembangan projek di bawah seliaan kementerian itu.

Menurut beliau, penting projek KKM disiapkan cepat termasuk penyediaan peralatan untuk kegunaan rakyat.