Hajiji ambil tindakan undang-undang

Hajiji ketika memberi ucapan pada majlis Ceramah Perdana di Kampung Baru Selaud, Tuaran.
Hajiji ketika memberi ucapan pada majlis Ceramah Perdana di Kampung Baru Selaud, Tuaran.
A
A
A

TUARAN - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Hajiji Noor akan mengambil tindakan ke atas pihak yang menularkan video mendakwa beliau telah merampas tanah orang kampung untuk diserahkan kepada syarikat miliknya.

Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, tindakan seperti laporan polis dan saman akan dibuat dalam masa terdekat sebagai maklum balas berhubung dakwaan tersebut yang dilihat adalah satu agenda bagi menjatuhkan beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

“Itu tidak betul. Perkara itu saya rujuk kepada peguam saya termasuk (tindakan) saman. Ia fitnah dan bukan fakta.

"Dalam politik boleh cakap apa sahaja tapi cakaplah yang betul, jangan main cakap sahaja. Tindakan itu (adalah satu tindakan) ‘terdesak,” kata beliau.

Calon PN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman itu berkata demikian selepas program ramah mesra di Kampung Selaud, Tuaran kira-kira 40 kilometer dari Kota Kinabalu yang turut dihadiri Naib Presiden Bersatu merangkap Exco Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.

Video yang tular di media sosial itu mendakwa Hajiji telah merampas 12.14 hektar tanah orang kampung di Kuala Tongol, Tuaran dan diserahkan kepada syarikat miliknya.

Pada PRN Sabah kali ini, penyandang kerusi DUN Sulaman selama enam penggal sejak tahun 1990 itu berdepan pertandingan tiga penjuru menentang calon PCS, Datuk Rekan Hussein dan calon Warisan yang juga anak saudaranya, Datuk Aliasgar Basir.

Terdahulu dalam majlis hari itu, Hajiji meminta rakyat Sabah mengubah nasib mereka yang terabai sewaktu di bawah pemerintahan kerajaan negeri sebelum ini dengan membuat keputusan bijak pada hari pengundian Sabtu depan.

Artikel Berkaitan:

“Ini peluang keemasan. Kita tidak mahu lagi dengar cerita dan cakap pihak di sebelah sana yang kononnya sudah buat macam-macam untuk rakyat Sabah.

“Kita mahu negeri yang membangun dan keselamatan terjaga,” katanya.

Mohd Rafiq pula dalam ucapannya percaya rakyat Sabah bijak membuat keputusan bagi memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan pusat demi kemajuan dan pembangunan yang lebih berdaya saing untuk manfaat mereka. - Bernama