8 minit hafal al-Quran

Abdul Rauf dinobatkan Tokoh Tahfiz (lelaki) pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan kali ke-9, baru-baru ini.
Abdul Rauf dinobatkan Tokoh Tahfiz (lelaki) pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan kali ke-9, baru-baru ini.
A
A
A

MACHANG - Tidak sekadar menghafal 30 juzuk al-Quran, seorang pelajar Maahad Tahfiz Al Quran Wal Qiraat (MTAQ) Pulai Chondong turut mengingati satu persatu terjemahan ayat, muka surat dan nombor ayat yang dibacanya.

Tanpa mengambil masa yang lama, Mohd Rauf Sapuan, 16, dapat menyatakan dengan jelas apabila ditanyakan soalan dan perincian berkaitan al-Quran kepadanya.

Mohd Rauf yang empunyai minat yang tinggi untuk mendalami al-Quran sejak berusia enam tahun itu juga mempunyai kebolehan luar biasa apabila turut mampu menghafal satu muka surat al-Quran dalam masa lapan minit.

Dia yang berjaya khatam al-Quran pada usia enam tahun mula menghafal kalam ALLAH itu pada usia 13 tahun sebaik melangkah ke MTAQ pada 2016.

Tidak mengamalkan petua tertentu, Mohd Rauf berkata dalam menghafal Al-Quran, dia sentiasa menjaga adab dengan kalam Allah tersebut selain menjaga adab dengan ibu bapa, guru dan ALLAH.

“Saya berusaha memuliakan al-Quran termasuk sentiasa memegangnya dekat di dada sebagai tanda hormat dan tidak pernah main-main kalau hal berkaitannya.

“Saya juga tidak menetapkan masa tertentu untuk menghafal tetapi sentiasa membacanya tanpa mengira waktu dan memberi perhatian kepada guru di dalam kelas," katanya.

Anak ketiga bagi pasangan Sapuan Yusoff, 44, dan Dr Rosnani Zakaria, 45, itu dinobatkan Tokoh Tahfiz (lelaki) pada Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (YIK) kali ke-9, baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

Dia yang bercita-cita menjadi pensyarah ialah seorang daripada 281 pelajar tahfiz dari sembilan buah sekolah YIK yang menerima Sijil Graduasi Tahfiz 2018 disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) itu.