APM terus ditambah baik

Mohd Redzuan ketika menyampaikan ceramah perdana di Rancangan Klias malam tadi.
Mohd Redzuan ketika menyampaikan ceramah perdana di Rancangan Klias malam tadi.
A
A
A

BEAUFORT - Kerajaan akan terus menambah baik sistem pengurusan dan aset Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam membantu menguruskan bencana yang berlaku seperti banjir di seluruh negara termasuk pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Mohd Redzuan Mohd Yusof berkata, penambahbaikan itu dilihat perlu bagi memastikan pengurusan APM lebih mantap dan pantas bagi menguruskan bencana.

“Jentera sukarelawan APM akan tambah baik bagi memastikan penugasan membantu mangsa bencana lebih mantap dan pada masa kini juga kita (APM) memang secara langsung menguruskan pandemik Covid-19 dengan barisan hadapan yang ada.

“Mereka ini adalah ‘unsung hero’, jaguh wira yang tidak didendangkan, mereka bekerja keras dan ada mungkin dalam kalangan kita sama-sama menunaikan tanggungjawab untuk memastikan rantaian pandemik Covid-19 ini dapat diputuskan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ceramah Perdana bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) di Rancangan Klias di sini malam tadi.

Mohd Redzuan berkata, pengurusan APM di setiap daerah di seluruh negara juga turut bersedia menjalin kerjasama dengan pejabat daerah bagi mendapatkan maklumat berkaitan.

“Ini termasuklah menyalurkan bantuan secepat mungkin dan kita ada sukarelawan yang datang begitu cepat. Kita juga ada barangan yang diperlukan untuk membantu mangsa memerlukan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, beliau yang menjadi ahli tetap dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) sentiasa berbincang bagi memastikan ekonomi negara dapat dibangunkan dalam suasana yang mencabar.

Artikel Berkaitan:

“Oleh sebab itu, kita perlu ada satu jaringan dalam satu kawasan yang boleh mengeluarkan barangan sendiri bagi menambah nilai barang-barang kita untuk meningkatkan pendapatan masyarakat sekitar,” katanya.