Perang poster meriah di bandar, suram di luar bandar

Kempen PRN Sabah mulai meriah dengan pemasangan papan iklan, poster dan bendera parti yang bertanding.
Kempen PRN Sabah mulai meriah dengan pemasangan papan iklan, poster dan bendera parti yang bertanding.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang sudah genap seminggu berlangsung dilihat mulai meriah dengan pemasangan papan iklan (billboard), poster dan bendera parti yang bertanding di beberapa kawasan sekitar bandar raya ini.

Meskipun berdepan dengan kebiasaan baharu, petugas-petugas parti tetap gigih dan berusaha untuk memasang bahan kempen bagi memastikan calon mereka menang pada PRN kali ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, antara parti yang kelihatan memasang bahan kempen sejak hari pertama adalah seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Parti Warisan Sabah (Warisan), USNO, Parti Cinta Sabah (PCS) dan beberapa lagi parti lain termasuk mereka yang bertanding atas tiket Bebas.

Kawasan bandar juga dilihat lebih rancak pemasangan bendera dan bahan kempen namun tinjauan di beberapa daerah seperti Papar, Bongawan, Membakut dan Beaufort mendapati pemasangan bahan kempen berkenaan dilihat suram dan kurang menyengat.

Selain itu beberapa laluan Pan Borneo juga tidak kelihatan sebarang bendera parti termasuk poster calon yang bertanding.

Timbalan Pengarah Jentera PRN Parti Warisan Sabah, Datuk Rozman Isli berkata, kemeriahan perang poster mulai dirasai di kawasan bandar.

"Sudah pasti bukan sahaja di pihak kami Warisan malahan saya lihat semua parti yang bertanding juga meriah memasang bahan kempen mereka dengan pelbagai warna dan reka bentuk bendera masing-masing.

"Memang seronok melihat suasana ini dan saya mahu golongan muda melihat ini dari sudut positif bahawa pilihan raya adalah sebuah proses demokrasi negara kita," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, calon PN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klias, Datuk Isnin Aliasneh mengakui kurang menggunakan medium poster dan bendera sepanjang kempen PRN Sabah kali ini namun hanya memasang di sebahagian kawasan sahaja.

"Ya... Pada pilihan raya kali ini saya kurang menggunakan kempen dalam bentuk poster dan bendera malahan kali ini kita kita banyak kempen alaf baru.

"Saya memilih kempen dalam bentuk media sosial sebab anak muda ramai yang lebih suka melihat 'live' kempen calon. Mereka tidak suka datang lokasi kempen malah lebih suka di rumah sahaja atau di mana sahaja," katanya.

Isnin berkata, pendekatan media sosial itu adalah bagi mengurangkan pembaziran dan mahu memerlukan keperluan perbelanjaan kepada yang lebih memerlukan.