Polis tahan 20 individu terlibat judi, dadah

Barang yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Miharja
Barang yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Miharja
A
A
A

CHERAS - Polis menahan 20 individu dipercayai terlibat dengan perjudian mahjung dan dadah di Taman Miharja sini sekitar jam 4.30 petang Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohamed Mokhsein Mohamed Zon berkata, semua individu berusia 50 hingga 79 tahun itu terdiri daripada 11 lelaki dan sembilan wanita.

Menurutnya, bertindak atas maklumat orang awam berkaitan kegiatan perjudian jenis mahjung, pegawai dan anggota Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Cheras bersama anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Cheras telah membuat serbuan di satu premis lot kedai di Taman Miharja.

"Ketika serbuan dilakukan, kesemua suspek sedang leka bermain judi mahjung dan hasil pemeriksaan dalam sebuah bilik di premis tersebut, telah menjumpai 15 paket plastik lut sinar disyaki mengandungi dadah jenis methamphetamine, dua paket plastik dadah disyaki heroin, 20 biji pil dipercayai ecstasy dan 10 biji pil dipercayai erimin 5.

Barang yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Miharja
Barang yang dirampas polis dalam serbuan di Taman Miharja

"Kesemua rampasan bernilai RM31,100. Turut dirampas wang tunai bernilai lebih kurang RM4,000 cip-cip pelbagai warna dan batu mahjung untuk permainan judi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamed Mokhsein berkata, polis kini sedang melakukan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat berkaitan penglibatan dan aktiviti pengedaran dadah yang dijalankan.

"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta kesemua suspek juga ditahan atas kesalahan berjudi Mahjung dan disiasat dibawah Seksyen 6 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 .

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Cheras dan direman tujuh hari," katanya lagi.

Mohamed Mokhsein menambah, polis memohon kerjasama orang ramai untuk terus menjadi mata dan telinga polis dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah, sebarang aktiviti perjudian dan aktiviti berkaitan dadah di kawasan masing-masing.