Covid-19: Kluster Bakau dikesan di Semporna

 Satu lagi kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Bakau di Semporna, Sabah dengan tiga kes dikesan positif koronavirus (Covid-19).
Satu lagi kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Bakau di Semporna, Sabah dengan tiga kes dikesan positif koronavirus (Covid-19).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu lagi kluster baharu dilaporkan hari ini iaitu Kluster Bakau di Semporna, Sabah dengan tiga kes dikesan positif koronavirus (Covid-19).

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks kluster ini merupakan seorang perempuan warga Filipina (kes ke-10,145) yang juga kes kematian ke-129 dilaporkan semalam.

“Saringan Covid-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 bagi Kluster Bakau dikenal pasti, melibatkan satu warga tempatan dan satu warga Filipina. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat jam 12 tengah hari, hari ini seramai 109 individu telah disaring bagi kluster itu, langkah pencegahan jangkitan termasuk proses nyah kuman dan proses pembersihan telah dijalankan di Hospital Semporna manakala punca jangkitan masih dalam siasatan.

Mengenai perincian Kluster Sungai, Dr Noor Hisham berkata, terdapat lapan kes baharu di Kedah dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kluster itu sebanyak 73 kes dengan 23,935 individu disaring setakat jam 12 tengah hari ini.

Di Kedah, 23,748 individu disaring dengan 72 kes positif termasuk lapan kes baharu dikesan hari ini, di Pulau Pinang seramai 142 individu telah disaring dan Perlis seramai 45 orang disaring dengan satu kes positif.

Beliau berkata, bagi perincian Kluster Benteng Lahad Datu (LD), terdapat satu kes baharu dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes positif kluster itu sebanyak 551 kes dengan 7,985 individu telah disaring setakat jam 12 tengah hari ini.

Di Tawau, seramai 5,975 individu disaring dengan 399 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini, di Lahad Datu seramai 2,009 disaring dengan 151 kes positif manakala di Sandakan, seorang individu telah disaring dan dikesan positif.

Artikel Berkaitan:

“Daripada jumlah 551 kes positif Covid-19, 272 adalah dalam kalangan warga tempatan manakala 279 merupakan bukan warganegara iaitu Filipina (185 kes); dan Indonesia (94 kes),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes akan sentiasa dikemas kini dan kategori bagi kes positif mungkin akan berubah bergantung kepada maklumat terkini hasil siasatan di lapangan, saringan kontak rapat dan aktiviti pengesanan kes secara aktif bagi kluster-kluster ini masih diteruskan. - Bernama