X

Kindly register in order to view this article
!

Botol mineral, plastik paling banyak dibuang di jalan Gambang

Proses pengauditan 86.7 kilogram sampah yang berjaya dikutip di sepanjang laluan utama Jalan Gambang Kuantan di sini.
A
A

KUANTAN - Botol mineral dan plastik antara sampah paling banyak dibuang di sepanjang jalan Kuantan-Gambang di sini.

Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Sharuddin Hamid berkata, daripada 86.7 kilogram (kg) sampah yang dikutip dalam aktiviti gotong-royong pembersihan kawasan tersebut, 34.8kg adalah botol mineral dan sisa plastik.

Menurutnya, selain plastik, sampah jenis sisa berjaya dikumpul sebanyak 27.1kg, kertas (14kg), lampin pakai buang (2.1kg), kaca (2kg), tekstil dan fabrik (1.5kg), besi, e-waste dan pelitup muka (2.02kg).

"Jumlah sampah ini direkodkan dalam program gotong-royong sempena sambutan World Cleanup Day Peringkat Kebangsaan yang diadakan serentak di 45 lokasi seluruh Malaysia di mana 12 lokasi adalah di Pahang.

"Jalan Gambang dipilih kerana ia merupakan jalan utama dan pintu masuk ke daerah Kuantan. Kita mahukan laluan kiri kanan jalan ini bersih daripada sampah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharuddin meminta masyarakat agar cakna mengenai sampah pelitup muka yang diklasifikasikan sebagai sisa klinikal dan tidak patut dibuang sewenang-wenangnya.

Menurutnya, SWCorp mengeluarkan satu garis panduan pembuangan pelitup muka agar tidak merisikokan pihak-pihak yang bekerja sebagai pengutip sampah.

"Kita ada mengeluarkan garis panduan di mana pelitup muka yang sudah digunapakai hendaklah dilipat dan dibuang di dalam plastik atau dibungkus kertas terlebih dahulu sebelum dibuang ke dalam tong sampah.

"Ini kerana kita tahu pada pelitup muka itu sendiri mungkin mempunyai virus daripada orang lain yang perlu dilupuskan dengan berhati-hati dan kaedah yang betul," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!