Kerajaan timbang sumbangan bulanan untuk penerima PJM

Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pertahanan bercadang untuk menyediakan elaun bulanan bagi penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) bagi mengenang jasa mereka ketika mempertahankan negara daripada ancaman pengganas satu ketika dahulu.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, cadangan elaun bulanan sebanyak RM300 atau RM350 itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan.

"Sebelum ini penerima PJM pernah mendapat sumbangan 'one off' sebanyak RM500 daripada kerajaan.

"Pada kali ini, kita berniat dan membuat cadangan kepada kerajaan kalau boleh diberikan sumbangan bulanan secara tetap kepada penerima PJM bagi mengenangkan jasa mereka yang begitu besar kepada negara," katanya pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan PJM Peringkat Negeri Sabah di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, seramai 350 penerima PJM bagi negeri Sabah menerima pingat pada hari ini dan akan dilaksanakan di beberapa buah negeri lain.

Ditanya sama ada cadangan berkenaan dilihat sebagai gula-gula untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Ismail Sabri berkata, ia tiada kena mengena dan satu kebetulan.

"Ini (majlis) merupakan kali kedua kita adakan, sebelum ini dilaksanakan di Johor pada bulan lalu.

"Program ini juga sememangnya sudah dalam perancangan di setiap negeri. Jadi, tidak ada kena mengena dengan pilihan raya, jika tidak ada pilihan raya di Sabah sekali pun, kita tetap akan laksanakan ikut perancangan," katanya.

Artikel Berkaitan: