X

Kindly register in order to view this article
!

Elaun sara hidup nelayan dinaikkan RM300 sebulan

Muhyiddin menyampaikan elaun sara hidup kepada nelayan Sabah pada Program Perdana Menteri Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Dataran Bagandang, Beaufort hari ini.
A
A

BEAUFORT - [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk mengembalikan semula elaun sara hidup nelayan yang diturunkan daripada RM250 oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada RM300.

Katanya, beliau mendengar dan memahami kesukaran hidup golongan nelayan dalam berdepan saat sukar negara menghadapi wabak koronavirus (Covid-19).

“Saya ingin ingatkan, sewaktu PH mentadbir negara, Parti Warisan Sabah (Warisan) adalah sebahagian daripada PH. Pada waktu itu elaun sara hidup nelayan RM300 telah dipotong dan jadi RM250, bukan ditambah.

“Hari ini saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menaikkan elaun sara hidup nelayan dari RM250 sebulan kepada RM300 sebulan.

"Saya berharap kenaikan elaun ini sedikit sebanyak mengurangkan beban yang dihadapi," katanya ketika berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Peladang, Penternak dan Nelayan Sabah serta Pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Dataran Bagandang di sini, hari ini.

Beliau dalam pada itu turut mengumumkan beberapa perkara kepada golongan petani, peladang dan petani iaitu dasar yang dibuat di bawah kerajaan pimpinannya.

Muhyiddin menabur baja sebagai gimik pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Dataran Bagandang, Beaufort hari ini.
Muhyiddin menabur baja sebagai gimik pelancaran Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma di Dataran Bagandang, Beaufort hari ini.

"Kerajaan di bawah kepimpinan saya telah memperuntukkan bantuan khas khususnya untuk kerajaan Sabah dan Sarawak di bawah Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit/Huma iaitu berjumlah RM40.34 juta.

"Pada masa sama, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), kerajaan melalui Agrobank telah memperuntukkan RM350 juta untuk sektor agromakanan.

"Daripada jumlah itu, sasaran pembiayaan sebanyak RM38.7 juta diperuntukkan untuk manfaat komuniti dan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sektor agromakanan di Sabah meliputi industri tanaman, ternakan, penangkapan ikan, pemprosesan dan perkhidmatan penyediaan makanan, kraf tangan, industri desa dan peruncitan," katanya.

Tambah Muhyiddin, kerajaan juga memperuntukkan RM41.1 juta di bawah Dana Kemudahan Bantuan Khas (SRF) untuk tujuan pembiayaan mikro dan komersial kepada usahawan agromakanan.

"Pihak MAFI Malaysia juga memperuntukkan sejumlah RM37.7 juta di bawah Projek Khas Perumahan Nelayan yang akan memanfaatkan seramai 1,649 nelayan di Sabah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut mengakui kehadirannya di Sabah untuk membantu calon yang bertanding dalam Pilihan Raya (PRN) Sabah berkempen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!