Ahli dakwa 46 hektar ladang sawit dipindahmilik secara haram

Lokanathan (tengah) di pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Lokanathan (tengah) di pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan berhubung pindahmilik 46 hektar ladang kelapa sawit kepada sebuah syarikat dengan harga rendah iaitu RM11,280 setiap 0.4 hektar.

Ahli Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad, M Lokanathan mendakwa, nilai pasaran bagi harga tanah tersebut adalah RM68,000 setiap 0.4 hektar.

"114 ladang sawit ini dipindahmilik kepada syarikat kroni membabitkan seorang pemimpin masyarakat yang merupakan salah seorang pengarah," katanya ketika ditemui di pekarangan Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.

Menurutnya, tanah ladang itu diwujudkan oleh bekas Presiden MIC, mendiang Tun V T Sambanthan bagi kepentingan pekerja Ladang Dovenby.

"Tanah itu sebenarnya untuk pembangunan perumahan bagi rakyat dan ahli koperasi seperti dijanjikan semasa Pilihan Raya Umum ke-11 (PRU11)," katanya.

Dakwanya lagi, dua bidang tanah yang dikhaskan kepada ahli dan penduduk Taman Tun Sambanthan telah dijual seorang pemimpin tertinggi koperasi.

"Tanah itu dijual dengan nilai RM100,000 kepada sebuah syarikat kroni lain," katanya.

Tambahnya, sebuah pusat konvensyen dibangun di tanah tersebut dipercayai menggunakan peruntukan kerajaan.

Artikel Berkaitan:

"Syarikat tersebut telah menjalankan perniagaan sewa bangunan kepada penduduk dan ahli dengan bayaran RM3,500 sehari," katanya.

Justeru, Lokanathan menggesa SPRM menyiasat dan mengambil tindakan terhadap perkara tersebut.

"Ini merupakan kali ketiga saya membuat laporan kepada SPRM tetapi tiada tindakan diambil.

"Saya harap SPRM mengambil tindakan sewajarnya terhadap kroni dan pemilik syarikat yang terlibat atas penyelewengan tanah peruntukan kerajaan," katanya.