Umno tawar Asmuni jadi MB Perak

Asmuni mendedahkan pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak oleh Umno, hari ini.
Asmuni mendedahkan pernah ditawarkan jawatan Menteri Besar Perak oleh Umno, hari ini.
A
A
A
IPOH - Belum habis isu wujudnya gerakan menggulingkan Menteri Besar Perak, Exco Kerajaan Negeri, Asmuni Awi pula mendedahkan pernah ditawarkan jawatan menteri besar oleh Umno pada 1 November lalu.

Menurutnya, beliau didatangi oleh wakil Umno Perak mengajaknya membentuk kerajaan bersama Pas dan wakil rakyat Bersatu dengan keluar daripada PH.

"Umno telah menghantar wakil mengajak saya keluar daripada PH dan menawarkan saya jawatan menteri besar bagi membentuk kerajaan bersama Pas dan Bersatu. Namun, saya menolak tawaran yang dibuat oleh individu yang sangat dikenali itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Adun BN dipujuk singkir MB Perak]

"Individu yang pernah berjawatan tinggi dalam Umno Perak itu telah bertemu dengan saya dengan membawa salam daripada Pengerusi Umno Negeri, Datuk Saarani dan menawarkan jawatan itu kepada saya," katanya.

Asmuni yang merupakan Pengerusi Amanah Negeri menegaskan bahawa kepimpinan Amanah dan PH lain masih berdiri teguh besama Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar dan mengekalkan kerajaan yang sedia ada.

"Kami bersama Adun-Adun dari parti komponen turut mempunyai pendirian yang sama. Tiada sebarang masalah yang boleh mencetuskan pertelingkahan dan menggugat kestabilan kerajaan yang ada.

"Perkara tersebut tidak masuk akal dan kenapa saya hendak menyokong Umno yang sudah semakin pupus. Lebih baik mereka semua tinggalkan parti dan menyertai PH," katanya.

Beliau juga tidak gentar sekiranya dicabar untuk mendedahkan wakil yang menyampaikan tawaran itu.
Artikel Berkaitan:


"Saya ada buktinya, kalau Saarani cabar saya keluarkan bukti, saya tiada masalah untuk keluarkan dan saya akan namakan siapakah orang tengah itu.

"Saya cabar Saarani untuk buktikan dakwaannya itu, siapa yang jumpa dia? kalau perkara ini berpanjangan di mahkamah pun tak apa. Kita tengok nanti," katanya.