Pengundi mahu Ewon kekal

Rizoh Bosorong, Sanial Angkat
Rizoh Bosorong, Sanial Angkat
A
A
A

KOTA BELUD - Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick dianggap sebagai ‘permata’ berharga buat rakyat di kawasan itu dan mahu beliau kekal menjadi wakil rakyat selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Ini terbukti apabila calon yang mewakili Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) itu berupaya membawa perubahan khususnya dalam pembangunan dalam tempoh dua tahun menjadi wakil rakyat sejak 2018.

Antara sumbangan Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah itu ialah pembinaan Dewan Kadamaian Square, naik taraf jalan, pembinaan dewan serbaguna, dewan terbuka, dan bangunan keusahawanan desa.

Bagaimanapun penduduk mahu lebih banyak kemudahan asas berskala besar disediakan terutama penaiktarafan jalan raya kepada jalan berturap.

Beberapa penduduk yang ditemui yakin anak jati Kampung Kiau itu mampu membawa DUN Kadamaian ke peringkat yang lebih tinggi dari segi pembangunan luar bandar.

Seorang aktivis masyarakat, Dr Rizoh Bosorong berkata, Ewon mempunyai kelebihan dalam rekod pencapaian pembangunan yang dilakukan apabila prestasinya sebagai menteri berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang cemerlang.

“Saya juga turut memuji keupayaan beliau dalam merealisasikan impian penduduk Kadamaian dalam penghasilan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian (2020-2035) yang telah dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal awal tahun ini dan kini menjadi dokumen kerajaan penting memajukan Kadamaian.

“Pelan pembangunan itu akan menjadi panduan kepada semua kementerian, agensi dan jabatan kerajaan untuk membawa pembangunan yang lebih pesat di kawasan luar bandar khususnya Kadamaian,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi seorang pengundi DUN Kadamaian, Sanial Angkat berkata, Ewon merupakan pemimpin muda yang mempunyai pandangan jauh untuk memajukan Kadamaian selain berpelajaran, rendah hati dan berjiwa rakyat.

“Bagi saya beliau seorang pemimpin yang amat komited terhadap tugas sebagai wakil rakyat dan memahami keadaan sosial di sini kerana beliau juga pernah mengalami situasi yang sama.

“Dia boleh bergaul dengan semua lapisan masyarakat dan sangat disenangi selain menjadi pakar rujuk kepada masyarakat. Justeru itu, saya menyeru agar masyarakat di sini perlu terus menyokong beliau untuk kekal sebagai wakil rakyat,” katanya.